Persembahan nostalgia Spyro Gyra tidak mengecewakan dan penonton tidak perlu menunggu lama untuk mengambil tempat kerana diberitahu konsert akan bermula tepat 8.30 malam.
Sebaik saja Tom Schuman menyentuh keyboardnya, penonton di Dewan Filharmonik Petronas bertepuk, teruja dengan lagu pembukaan konsert, Catching The Sun.
Nyata ruang di Dewan Filharmonik Petronas adalah yang terbaik untuk pementasan konsert seumpama ini. Aspek ketelitian diambil kira dengan bunyi alat muzik pemuzik lantang dan memuaskan.
Tunjang kumpulan ini, Jay Beckenstein kemudiannya berucap pendek dan memperkenalkan kepada penonton pemain gitar Julio Fernandez, pemain bass Scott Ambush, pemain dram Lee Pearson dan tidak ketinggalan Tom Schuman, pemain keyboard.
Persembahan julung kali Spyro Gyra di Dewan Filharmonik Petronas pada 7 Oktober lalu. Gambar dari DFP
Konsert satu setengah jam itu turut diserikan dengan beberapa lagu signature Spyro Gyra seperti Morning Dance, Wishful Thinking, Odds Get Even dan Daddy’s Got A New Girl.
Antara persembahan solo yang mendapat tepukan gemuruh ialah ketika Scott Ambush mempamerkan skil solo bassnya, dan Lee Pearson juga berjaya memukau penonton dengan pukulan dram solonya.
Penonton masih tidak berganjak selepas Beckenstein menutup persembahan, dan Spyro Gyra kembali beraksi dengan lagi terakhir mereka, Free Time.
Julio Fernandez mempamerkan skil solo gitarnya - Gambar dari DFP
Kuala Lumpur adalah destinasi kedua Spyro Gyra selepas New York dalam jelajah meraikan ulangtahun ke-35 album Morning Dance, album yang mengangkat nama mereka sepanjang 40 tahun terbabit dalam industri hiburan.Antara lagu-lagu lain yang dihidangkan untuk peminat malam itu termasuk De La Luz, Heliopolis, Morning Dance, Starburst dan Not Unlike That.
Spyro Gyra melabuhkan tirai persembahan mereka dengan Free Time yang merupakan gubahan Schuman dan Konikoff.
Jelajah yang bermula pada 3 Oktober akan berakhir di lokasi ke 16, Florida, Amerika Syarikat pada 8 Disember ini.