PRODUKSI filem berasaskan permainan video klasik Game Boy, Tetris bakal difilemkan!

Bukan itu sahaja, ia juga akan tampil sebagai sebuah filem trilogi.

Menurut laporan portal Deadline, projek itu menelan bajet penggambaran sejumlah AS$80 juta (RM321,36 juta) dan akan diklasifikasi sebagai filem genre thriller fiksyen sains.

Tetris merupakan filem kolabrasi bersama syarikat produksi China dan Amerika Syarikat di bawah Threshold Global Studios.

Pendedahan ini mengejutkan ramai pihak dan penerbit filem, Larry Kasanoff menyifatkannya sebagai sebuah filem yang bakal memenuhi cita rasa penonton.

"Ia tidak sama sekali seperti apa yang anda fikirkan, ia akan menjadi satu kejutan besar" kata Kasanoff.

Penggambaran filem akan dimulakan pada tahun 2017 di China dan beberapa lokasi lain. Filem itu turut akan menampilkan barisan pelakon dari China.

Bagaimanapun, media antarabangsa melaporkan penulisan skrip filem itu masih belum bermula.

Pelbagai reaksi netizen di laman Twitter termasuk yang teruja dan mengkritik idea itu.






Permainan Tetris dilancarkan di Rusia dalam tahun 1984. Ia mendapat sambutan hangat dan kemudian diberi penjenamaan semula bersama permainan video, Game Boy lima tahun kemudian. Mula menjadi fenomena global, permainan tersebut bukanlah berkaitan dengan sci-fi, tetapi permainan teka-teki yang ringkas (dan menyebabkan ketagihan).