aziz sattar
Datuk Aziz Sattar dalam kenangan, klik di sini untuk galeri foto

"Aziz : Sudin, rumah yang kau cakap dulu tu dah ada orang tinggal belum?
Sudin : Rumah yang mana tu..Oooo.. rumah yang itu masih kosong lagi, kalau kita apply dapatlah
Aziz : Bagus juga ya, berapa bilik ada Din?
Sudin : Yang aku tengok ada tiga bilik masih kosong
Aziz : Bagus ya Din tiga bilik, boleh kita seorang satu. Berapa besar agak-agaknya bilik tu?
Sudin : Besar tak berapa besar. Kalau tak silap aku, tujuh kaki panjang, lima kaki lebar, tujuh kaki dalam
Aziz : Besar juga ya tu tujuh kaki panjang, lima kaki lebar, ada dalam lagi ya...... Eh itu kubur! Tempat kau nak mampus, bahalol!"


KUALA LUMPUR: Itu antara petikan dialog Ajis dan Sudin di dalam filem ‘Seniman Bujang Lapok’ yang sering kita ulang dan tidak pernah gagal untuk membuatkan kita ketawa.

Hari ini, negara telah kehilangan Ajis, trio terakhir siri filem legenda ‘Bujang Lapok’ itu.

Sepanjang hayatnya, Datuk Aziz Sattar atau lebih mesra dipanggil Pak Ajis sentiasa menjadi rujukan pelawak-pelawak muda serta peminat dalam mendengar cerita-cerita lucu dan pengalamannya bersama Allahyarham P. Ramlee dan Allahyarham S. Shamsudin sewaktu di zaman kegemilangan Jalan Ampas.

Allahyarhamlah yang sentiasa menghidupkan aura P. Ramlee ke mana saja beliau pergi.

Hanya sedikit Allahyarham bercerita akan perihal dirinya dan setiap kali mengimbas kenangan bersama P. Ramlee atau S. Shamsudin pasti Allahyarham akan menitiskan air mata.

Berita pemergian Datuk Aziz Sattar atau lebih mesra dipanggil Pak Ajis ini mula dikhabarkan oleh salah seorang cucunya di laman Twitter.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa ahli politik yang lain antara yang terawal memuatnaik ucapan takziah di atas berita pemergian seniman negara ini.





Kehilangannya juga dirasakan oleh anak-anak seni yang lain yang turut sama meluahkan rasa terkejut dan dukacita.







Ajis, Ramlee dan Sudin adalah karekter mencuit hati dalam siri filem Bujang Lapok yang sememangnya masih kekal segar dalam ingatan sehingga ke hari ini oleh peminat-peminat filem melayu di segenap lapisan usia.

Awal pagi Selasa, Pak Ajis meninggal dunia di Hospital KPJ Kajang pada usia 89 tahun akibat serangan jantung setelah dikejarkan ke hospital pada Ahad lalu.

Selepas ini, hampir mungkin tiada lagi kisah Ajis, Sudin dan Ramlee yang dapat kita dengari.

Al-Fatihah.