Penulis novel, Jackie Collins, pengarang terlaris novel romantik, meninggal dunia di California akibat kanser payudara.

Collins yang berasal dari Britain itu meninggal pada usia 77 tahun.

“Beliau menjalani kehidupan yang baik dan amat disayangi keluarga, rakan-rakan serta jutaan pembaca yang telah beliau hiburkan selama lebih empat dekad, " kata keluarganya dalam satu kenyataan, sambil memaklumkan Collins menghidap kanser payudara selama lebih enam tahun.

“Beliau sering memberikan inspirasi, serta menjadi perintis untuk wanita dalam bidang fiksyen dan mempunyai daya kreativiti. Beliau akan terus hidup menerusi watak-wataknya, dan kami sangat merinduinya," kata kenyataan daripada tiga anak perempuannya, Tracy, Tiffany dan Rory .

Antara karyanya termasuklah "The World is Full of Married Men," "Confessions of a Wild Child" dan "Hollywood Wives."

Collins dan kakaknya Joan Collins, 82 , terkenal kerana berjaya menyerlah di Hollywood, dalam dan di luar skrin.

Collins pernah tinggal bertahun-tahun di California dan merupakan warganegara Amerika Syarikat.