PADANG BESAR: Penubuhan Persatuan Industri Kreatif penting untuk memartabatkan penggiat seni tanah air, selain merancakkan lagi aktiviti seni kreatif yang boleh menarik minat masyarakat terhadap industri itu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata menerusi persatuan itu gerak kerja untuk mengetengahkan hasil seni kreatif secara meluas dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

"Melalui persatuan ini kita dapat bekerjasama antara agensi industri kreatif. Contohnya di KKMM (Kementerian Komunikasi dan Multimedia) ada My Creative Ventures, Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) dan MDEC (Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia).

"...kalau ada persatuan kita boleh minta pihak swasta bantu, kita nak ajar untuk pemasaran supaya penglibatan pihak yang berkreatif ini dapat ditingkatkan kreativiti mereka dan meraih pendapatan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Besar di sini semalam.

Pada Oktober lepas, Zahidi dilaporkan berkata KKMM berhasrat menubuhkan Persatuan Industri Kreatif bagi menggalakkan aktiviti seni kreatif dalam kalangan masyarakat.

Beliau dipetik sebagai berkata penubuhan persatuan itu akan meliputi peringkat kebangsaan dan negeri untuk memudahkan penyelarasan usaha pengembangan industri itu.

Mengulas lanjut, Zahidi berkata pihaknya telah pun memulakan usaha penubuhan persatuan itu yang dijangka dirasmikan tahun depan.

Katanya menerusi persatuan itu juga akan dapat membantu kerajaan meningkatkan pendapatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam bidang industri kreatif yang memerlukan penjenamaan dan inovasi baharu.

"Contohnya, di Perlis bagaimana kita nak buat Awang Batil, menari canggung dan sebagainya menjadi menarik supaya rakyat tengok tertarik. Kalau boleh setiap tahun kita adakan pertunjukkan, hadiah dan anugerah kepada industri kreatif ini untuk meningkatkan semangat mereka berkreatif.

"Jadikan ini satu pekerjaan yang cukup menarik dan ia memerlukan usaha yang keras, jadi sebab itulah kita berusaha. Persatuan yang kita buat ini, kita dapat bincang bersama dan bagaimana kerajaan nak bantu dan boleh juga tingkatkan (industri) pelancongan dan sebagainya," katanya.

-- BERNAMA