BELUM lagi ditayangkan di pawagam, peminat filem tempatan sudah tidak sabar menantikan filem sekuel Munafik 2 selepas trailer filem terbaru itu ditonton lebih 1.7 juta kali dalam tempoh kurang 24 jam.

Pengarahnya, Syamsul Yusof menyatakan perasaan syukur atas sambutan awal peminat terhadap trailer filemnya itu sebelum menjengah pawagam pada 30 Ogos nanti.

Akuinya, trailer filem memainkan peranan sangat penting seperti mana menjual sesuatu produk untuk tarik perhatian pembeli.

BACA: Munafik 2: Sambutan hebat hingga ke Indonesia

"Saya mengambil masa dua minggu untuk menghasilkan trailer ini tapi ayah saya kata masa tersebut terlalu lama sebab orang lain buat dalam masa 2 hingga 3 hari saja.

"Bagi saya, untuk mendapatkan kualiti, saya perlu masa untuk menghasilkannya," katanya dalam temubual segmen Salam Bros di Zayan, hari ini.


Jelasnya, dia mahukan filem baru yang dihasilkan lebih baik daripada terdahulu.

"Saya tak boleh tipu diri sendiri. Jika boleh saya mahu buat filem yang lebih baik sebab saya rasakan macam tak bagus lagi hasilnya," katanya.

Apa yang menjadi prinsipnya, Syamsul percaya pada kekurangan diri mampu menjadikan dirinya menjadi lebih baik.

Malah, seperti mana filem arahannya sebelum ini dia lebih selesa untuk menulis skrip, mengarah, melakukan kerja kamera termasuk berlakon untuk mendapatkan hasil yang terbaik.

"Saya pun bertanya pada diri, kenapa saya buat semua ini. Ini memberi tekanan pada saya tapi saya buat juga.

"Pertama, saya mampu buat tak bermakna semua filem saya jadi hero seperti dalam filem KL Gangster saya tidak mengambil watak utama Datuk Aaron Aziz.

"Mungkin saya suka mencabar diri saya. Bila saya jadi pelakon, saya bosan," katanya.

Dibandingkan Hollywood yang mempunyai produksi khusus dalam menghasilkan trailer mahupun poster, Syamsul sentiasa mahu menjadi kualiti filemnya.

"Sebab itu adalah 'passion' saya. Sejujurnya, apabila saya menangung tekanan buat filem, saya akan buat lagi.

"Ini semua terubat apabila mendapat sambutan positif penonton tapi saya kena gali lagi apa yang penonton mahukan," katanya. - Teks oleh: Elrafaei Sapi