Pelakon dan pelawak veteran Jerry Lewis dimasukkan ke hospital di Las Vegas bagi merawat jangkitan saluran kencing dan dijangka akan pulih sebelum beliau berlepas ke Kanada lewat bulan ini bagi menjalani pengambaran filem baharunya, kata jurucakapnya pada Isnin.

Penghibur berusia 91 tahun itu dihantar ke hospital pada lewat Jumaat dan doktor “memutuskan untuk meletakkannya di bawah pemerhatian selama seminggu bagi memastikan ubat yang diberikan sesuai dengannya,” pegawai publisiti, Candi Cazau berkata ketika ditemui portal Reuters.

Cazau berkata antibiotik yang diberikan kepada Lewis berkesan dan keadaannya dilaporkan bertambah baik.

Memandangakan keadaan beliau yang semakin pulih, Lewis dijangka akan dibenarkan keluar dari hospital pada Ahad atau Isnin.

Lewis, yang sudah lama menetap di Las Vegas telah banyak kali dirawat untuk pelbagai jenis penyakit, antaranya serangan jantung, radang paru-paru dan sakit belakang yang kronik.

Populariti Lewis meningkat naik sekitar tahun 1950-an sebagai pelawak filem, televisyen dan di kelab malam.

Beliau memulakan karier sebagai 'sidekick' pelakon terkenal Dean Martin. Beliau membintangi lebih dari 45 filem sepanjang kariernya yang mencecah hampir lima dekad.

Lewis turut terlibat secara dekat dengan telethon tahunan Hari Pekerja untuk Persatuan Distrofi Otot, yang mana dia mula mengacarakan pada tahun 1952. Hampir empat dekad selepas mengacarakan program tersebut, Lewis mengumumkan persaraan beliau pada tahun 2011.

Lewis dijadualkan untuk terbang ke Kanada akhir bulan untuk pengambaran filem terbaharunya selama 10 hari. Beliau dijangka mendokong watak yang penting dalam produksi tersebut, namun maklumat lanjut tentang filem tersebut masih lagi tidak di dedahkan setakat ini, kata Cazau.

Lewis akan tampil untuk satu siaran malam di teater NYCB di Westbury, New York pada bulan September.

Pada tahun 2013, Lewis membintangi “Max Rose” yang merupakan penampilan terakhir beliau dalam sebuah filem. Beliau memegang watak sebagai seorang pemain piano jazz veteran yang berada dalam dilema selepas mencurigai kesetiaan isterinya selepas 65 tahun berkahwin.

Filem "Max Rose" merupakan penampilan pertama beliau di layar perak selepas 18 tahun menyepi diri dari dunia perfileman. Pada tahun yang sama, Lewis membuat penampilan pertama di Broadway dalam sebuah pementasan muzikal, “Damn Yankees.”