Teater yang mengangkat kisah hidup Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Teater Muzikal P.Ramlee kembali lagi dengan gandingan barisan pelakon berbeza dari dua musim yang terdahulu.

Teater terbitan Enfiniti Vision Media Sdn Bhd kali ini, membariskan pelakon seperti Tony Eusof (P. Ramlee), Nadia Aqilah (Saloma), Puan Sri Tiara Jacquelina (Norizan) dan Lisa Surihani (Junaidah).

Selain mereka, ramai muka baru dilihat bakal menjayakan pementasan dalam memberikan mood segar kepada Teater Muzikal P.Ramlee musim ketiga ini.

Antaranya, Iedil Putra yang menggalas tanggungjawab membawa watak Sukardi, sahabat baik kepada P. Ramlee yang sebelum ini dilakonkan oleh Chedd Yusoff selama dua musim berturut-turut.

Penyerahan watak Sukardi dari Chedd Yusoff kepada Iedil Putra

Watak Sukardi sememangnya memberi pengaruh besar kepada kehidupan seniman lagenda P.Ramlee.

Sukardi merupakan sahabat baik P. Ramlee yang sama-sama menyertai pancaragam di Pulau Pinang sehinggalah berhijrah ke Singapura untuk menerima tawaran kerja di Studio Jalan Ampas.

Untuk dua musim berturut-turut, Chedd memegang watak Sukardi di dalam teater Muzikal P. Ramlee.

sukardi
Iedil Putra (kiri) bakal menjayakan watak Sukardi menggantikan Chedd Yusoff

Menyifatkan watak Sukardi bagai sudah sebati dengan dirinya, Chedd mengakui pada mulanya berasa berat untuk melepaskan watak tersebut kepada pelakon lain.

“Memang sayang, memikirkan bagaimana ketika mula-mula saya membina watak Sukardi ini dulu.Tidak banyak rujukan yang kita dapat dalam menentukan Sukardi ini orangnya bagaimana. Semuanya menggunakan imaginasi saya sendiri.

Kini saya lebih sibuk dengan tugas di belakang tabir, eloklah jika ianya dilakonkan oleh orang lain. Nampak lebih segar” cerita Chedd yang bertindak sebagai Pengarah Kreatif di Enfiniti.

Namun Chedd percaya Iedil merupakan pelakon yang paling sesuai menggantikannya dalam menjayakan watak Sukardi.

Bagi Iedil pula, tidak timbul soal tekanan dalam menggalas watak tersebut kerana baginya setiap pelakon punya cara masing-masing.

“Kalau boleh saya tidak mahu dibayangi Chedd dalam menjayakan watak ini bagi memberikan satu warna lain dalam teater Muzikal P. Ramlee kali ini.

Insya Allah pastinya menjanjikan satu kelainan” kata Iedil yang sudah 9 tahun menceburkan diri dalam bidang teater.

Tony Eusoff tidak kisah dilihat sinonim dengan watak P. Ramlee

Tony, pendukung watak utama dalam Teater P. Ramlee The Musical musim ketiga ini berkata dia tidak kisah dianggap sinonim dengan watak seniman lagenda itu.

Malah Tony merasakan, tanggapan itu adalah satu penghormatan buat dirinya.

Tony Eusoff sebagai P. Ramlee
Tony Eusoff sebagai P. Ramlee - Kredit Foto Facebook Tiara Jacquelina

Sebelum ini, watak P. Ramlee yang dibawaTony menerusi telefilem Saloma yang sedang ditayangkan di saluran Astro First mendapat sambutan yang menggalakan dan pujian ramai.

“Jika orang menganggap saya sinonim dengan watak P.Ramlee, rasanya itu satu penghormatan buat saya.

Selain berasa bangga, saya juga anggap itu sebagai pujian jika orang samakan saya dengan bintang lagenda itu” katanya.

Tony sendiri turut berkongsi rasa terharunya apabila pengarah tersohor U-wei Haji Shaari datang kepadanya dan mengucapkan tahniah kerana wataknya di dalam Saloma.

Dalam Teater Muzikal P. Ramlee sendiri, Tony teruja dalam menjayakan watak tersebut namun tidak akan lari dari karekter sebenar seniman agung itu.

“Pastinya saya akan cuba buat lain dari pelakon musim terdahulu iaitu Sean Ghazi dan Musly Ramli dengan cara saya yang tersendiri, tapi takkan lari jauh dari diri sebenar P. Ramlee” katanya.

Lisa Surihani tidak rujuk Yusri dalam bidang nyanyian

Lumrah bersuamikan seorang penyanyi dan komposer terkenal, sudah tentu orang pertama yang menjadi rujukan adalah suaminya sendiri.

Namun tidak bagi pemegang watak Junaidah yang bakal dibawakan oleh pelakon popular Lisa Surihani.

Watak Junaidah iaitu isteri pertama P.Ramlee memerlukan Lisa untuk menyanyi dan menari, namun begitu Lisa akui dia malu untuk menerima komen dari suaminya, Yusri KRU.

Lisa Surihani sebagai Junaidah
Lisa Surihani sebagai Junaidah - Kredit Foto Facebook Tiara Jacquelina

Kata Lisa, dia lebih selesa jika nyanyiannya dilatih oleh tenaga produksi dalam menjayakan teater ini.

“Saya akui malu jika Yusri ajar saya menyanyi, rasanya saya lebih selesa jika dilatih oleh pelatih vokal dalam produksi ini.

Kerana dengan latihan dan persediaan nyanyian dari tenaga produksi, apa yang saya sampaikan nanti akan lebih tepat dengan kehendak pengarah” jelas Lisa.

Antara lain Lisa turut berkongsi debaran dalam membawa watak Junaidah seorang wanita yang kurang keyakinan diri kerana bersuamikan P. Ramlee.

“Junaidah ialah wanita yang penuh konflik. Risau juga dalam mahu melahirkan semua emosi, dalam masa yang sama saya perlu menghafal lagu dan lirik” katanya.

Tiara Jacquelina pernah jumpa Allahyarham Norizan

Puan Sri Tiara Jacquelina buat pertama kali turun padang melakonkan watak isteri kedua P.Ramlee, iaitu Norizan dalam pementasan musim ketiga ini.

Norizan atau nama sebenarnya Che Norizan Muhammad Noor isteri P Ramlee yang kedua selepas Seniman Agung itu berpisah dengan Junaidah.

Tiara Jacquelina sebagai Norizan
Tiara Jacquelina sebagai Norizan - Kredit Foto Facebook Tiara Jacquelina

Norizan sebelum berkahwin dengan P. Ramlee adalah isteri kepada Almarhum Sultan Perak, Sultan Yussuf Izzudin Shah dan beliau sanggup meninggalkan kehidupan di istana demi cintanya terhadap P Ramlee.

Kata Tiara, beliau sudah lama teringin untuk melakonkan watak tersebut memandangkan sangat mengagumi dengan kisah kehidupan wanita bernama Norizan.

Malah, dalam pengalamannya, Tiara turut berkongsi bahawa beliau pernah berlakon bersama Norizan di sebuah set penggambaran arahan Nor Halim Ismail.

“Norizan adalah satu-satunya isteri P Ramlee yang saya pernah jumpa di mana ketika itu kami sama-sama membintangi sebuah drama.

Mengenali kisahnya, bagi saya dia adalah wanita yang kuat dan seorang yang tidak pernah menyesal” katanya.

Watak Norizan memerlukan Tiara untuk menjadi agresif dan ianya dianggap sebagai satu cabaran dalam melakonkannya memandangkan Tiara sebelum sering membawa watak yang menjurus kepada watak lembut.

“Mencabar namun itu saya jadikan sebagai satu pelajaran baru buat saya” katanya.

Tiara juga berharap agar penonton yang hadir menyaksikan Teater Muzikal P. Ramlee musim baru ini dapat membawa bersama ibu bapa dalam mengimbau kembali zaman muda mudi mereka.

“Tanpa sedar, kebanyakan ibu bapa kita membesar dengan lagu-lagu dan filem P. Ramlee. Jadi ini kesempatan yang baik dalam masa cuti nanti untuk penonton membawa ibu bapa menonton bersama teater kisah hidup lagenda negara ini” katanya.

Ada apa dengan Teater Muzikal P. Ramlee musim ketiga?

Barisan pelakon P Ramlee The Musical kali ini mengalami perubahan besar apabila watak Seniman Negara, P Ramlee sendiri yang sebelum ini dibawakan Sean Ghazi dan Musli Ramli kini bertukar tangan kepada Tony Eusoff.

Sementara, Saloma yang cukup sinonim dengan penyanyi Liza Hanim, kini mencabar kemampuan pelakon baru, Nadia Aqilah.

Pat Ibrahim
Pat Ibrahim, pengarah Teater Muzikal P. Ramlee musim ketiga

Namun kata pengarahnya, Pat Ibrahim, pementasan kali ini akan lebih berbeza dari segi interpretasi dalam setiap watak.

“Saya nampak gandingan baru ini akan menjadikan kisah P. Ramlee musim ketiga ini lebih menarik.

Saya lebih menekan pemahaman watak bagi semua pelakon, dan dari situ saya bantu dalam menciptakan dinamik watak” katanya.

Pat juga memaklumkan tenaga produksi yang ada banyak membantunya dalam menghasilkan idea yang lebih segar dalam teater Muzikal P.Ramlee kali ini.

I’m nothing without this people. Lupakan apa yang pengarah sebelum ini pernah lakukan, saya mahu bawa naskah ini disampaikan dengan cara saya sendiri” katanya yang sudah terlibat dalam dunia teater sejak tahun 2006.

Datuk Aznil Hj Nawawi
Datuk Aznil Hj Nawawi sebagai D Harris - Kredit Foto Facebook Tiara Jacquelina

Kisah P. Ramlee ini turut dimeriahkan dengan kemunculan Datuk Aznil Hj Nawani sebagai bapa kepada Junaidah iaitu D. Harris, pelawak Douglas Lim dan Rueben Kang sebagai Shaw Brothers serta penyampai radio JJ Fernandez sebagai B.S. Rajhans.

Rata-rata pelakon yang ditemui Astro AWANI sekitar sesi latihan teater tersebut berasa teruja dengan kolaborasi ini dan menjanjikan persembahan terbaik buat penonton.

Douglas Lim dan Rueben Kang
Douglas Lim dan Rueben Kang sebagai Shaw Brothers - Kredit Foto Facebook Tiara Jacquelina

Saksikan gabungan menarik ini yang akan dipentaskan pada 3 hingga 12 Oktober di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Harga tiket bermula dari RM33 boleh didapati di kaunter IB atau secara online di www.ticket2u.biz.

15% peratus diskaun akan diberikan untuk pementasan pada tarikh cuti am Aidliadha.