Muzium bagi memperingati pengarah filem tersohor Yasmin Ahmad mula dibuka kepada orang awam.

Muzium 'Yasmin At Kong Heng' yang terletak di Old Block Apartments di Jalan Sultan Yussuf, Ipoh itu hanya dibuka pada hujung minggu dari pukul 10 pagi hingga 6 petang.

Yasmin At Kong Heng bukan sekadar muzium biasa. Terletak di Ipoh, bandaraya itu dipilih kerana ia merupakan kegemaran pengarah itu yang sentiasa menjadikan bandaraya itu sebagai lokasi setiap filem arahannya.

Setibanya di Ipoh, Yasmin At Kong Heng terletak tidak jauh dari stesen keretapi itu. Berjalan sedikit tidak jauh dari stesen itu, kita akan melalui Masjid Negeri Ipoh, lokasi ikonik penggambaran filem Muallaf sebelum singgah di di sebuah restoran berdekatan yang pernah menjadi lokasi penggambaran filem yang sama.



Melalui lorong kecil di belakang sederet rumah kedai, di situlah letaknya muzium yang akan mengabadikan kenangan peminat-peminat Yasmin.

Masuk ke ruang dalam muzium Yasmin At Kong Heng, tetamu disambut dengan suara pengarah tersohor itu. Mendaki tangga untuk melihat sendiri pesan-pesan yang pernah ditinggalkan oleh beliau juga foto yang mengingatkan kita kembali pada salah satu adegan dalam filem Sepet.

Muzium itu mempamerkan sejarah peninggalan Yasmin antaranya koleksi iklan-iklan nukilannya yang tidak pernah kita lupakan setiap kali menjelang musim perayaan.

Bahan pameran yang ada termasuk dalam bentuk instalasi video, visual multimedia, teks dan grafik.

Pereka terkenal Ng Sek San bertanggungjawab sebagai pereka landskap dan muzium tersebut direka oleh arkitek Kamil Merican. Kurator muzium tersebut dipertanggungjawabkan kepada Wei Ming.

Yasmin At Kong Heng

Muzium Yasmin At Kong Heng tidak akan menjadi realiti tanpa sokongan The Old Block Sdn Bhd, gabungan pemilik deret rumah kedai di sekitar Kong Heng yang turut disokong Datin Julie Song.

Sumbangan derma minimum sebanyak RM3 dikenakan kepada orang dewasa, manakala kanak-kanak di bawah 12 tahun adalah percuma.

Layari laman web rasmi Yasmin At Kong Heng di www.facebook.com/yasminatkongheng atau hubungi 05-241 8977 untuk maklumat lanjut.

Dibina atas rasa cinta, sumbangan masih boleh dibuat kepada muzium ini untuk menambahbaik pelbagai pameran yang ada. Sumbangan boleh dibuat kepada:

The Old Block Sdn Bhd - Yasmin Ahmad Museum (Maybank Bhd)
No akaun : 558024310056