Siapa yang tidak kenal dengan aksi penghibur lincah yang sering memakai jaket epaulet berkilat dan sarung tangan putih dengan bercermin mata gelap yang menjadi ikon global?

Penghibur superstar itu tidak lain ialah Michael Jackson, yang mencipta legasi yang menghangatkan industri muzik.

Dalam kurang daripada 48 jam, aksi Raja Pop itu dapat dipertontonkan melalui persembahan muzikal 'Thriller Live' yang akan diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil, dari 19 hingga 25 Mac ini.

Sempena album yang paling laris jualannya pada 1982, Thriller, peminat MJ tidak harus melepaskan peluang yang jarang berlaku ini untuk menonton persembahan muzikal sensasi ini.

"Ia satu persembahan yang hebat yang menggambarkan sambutan kami kepada muzik dan aksi Michael Jackson sambil menari yang menyebabkan penonton tidak berganjak daripada tempat duduk masing-masing dari mula hingga akhir persembahan," kata penerbitnya, Paul Walden dan Derek Nicol.

Diilhamkan oleh rakan karib Jackson iaitu Adrian Grant, ia adalah satu persembahan muzik berkuasa tinggi untuk memperingati muzik, kehidupan dan keperibadiannya.

Acara itu akan mempamerkan penyanyi utama West End yang bersuara lantang seperti MiG Ayesa, Alex Buchanan, J. Rom dan Prinnie Stevens.

Peminat berpeluang menikmati lagu-lagu hit Raja Pop itu seolah-olah menyaksikan bintang super star itu mengadakan pertunjukan secara live.

Tiket-tiket berharga RM538 (VVIP), RM468 (VIP), RM398 (CAT A), RM298 (CAT B), RM168 (CAT C) dan RM128 (CAT D). Untuk maklumat lanjut mengenai jualan tiket, boleh layari www.ticketcharge.com.my.