LOS ANGELES: Legenda muzik Quincy Jones meninggal dunia pada 3 November pada usia 91 tahun, lapor Reuters.


Ringkasan AI
  • Legenda muzik Quincy Jones meninggal dunia pada 3 November pada usia 91 tahun, di kediamannya di Bel Air, dikelilingi ahli keluarga.
  • Jones memiliki kerjaya prolifik selama lebih 70 tahun, bekerjasama dengan artis tersohor seperti Count Basie, Frank Sinatra, dan Michael Jackson, serta menghasilkan album hit "Thriller."
  • Beliau memenangi 28 Anugerah Grammy dan menerima pelbagai penghargaan termasuk pengiktirafan di John F. Kennedy Center Honors, Pingat Seni Kebangsaan dari Presiden Barack Obama, dan kemasukan ke dalam Rock & Roll Hall of Fame.


Jones merupakan tokoh besar dalam muzik Amerika yang pernah bekerjasama dengan artis-artis tersohor seperti Count Basie dan Frank Sinatra.

Beliau turut mencipta nama apabila mengubah ritma muzik pop apabila berkolaborasi dengan Michael Jackson, 

Jurucakapnya, Arnold Robinson, berkata Jones meninggal dunia dengan tenang di kediamanannya di Bel Air, dikelilingi ahli keluarga.

"Malam ini, dengan luluh dan berat hati, kami berkongsi berita tentang pemergian ayah dan saudara kami, Quincy Jones.

"Walaupun ini merupakan kehilangan besar buat keluarga, kami meraikan kehidupan hebat yang telah dilaluinya yang tiada seumpamanya," kata keluarga mendiang dalam satu kenyataan.

Jones mengharungi kerjaya yang prolifik selama lebih 70 tahun, menjadikan beliau kuasa yang hebat di belakang tabir dan seorang yang berbakat.

Mendiang meninggalkan kesan yang tidak dapat dilupakan dalam muzik jazz, pop, hip-hop dan puluhan runut bunyi filem dan televisyen.


Beliau menghasilkan album hit Michael Jackson, "Thriller," yang dikeluarkan pada tahun 1982, serta adaptasi Steven Spielberg dari "The Color Purple" dan sitkom NBC "The Fresh Prince of Bel-Air," projek-projek yang membantu mengukuhkan legasinya sebagai pencipta dan penerbit legenda.

Jones memenangi 28 Anugerah Grammy, meletakkannya di kedudukan ketiga dalam senarai pemenang sepanjang zaman, selepas Beyoncé dan Georg Solti.

Beliau juga menerima pelbagai penghargaan, termasuk pengiktirafan di John F. Kennedy Center Honors pada tahun 2001, Pingat Seni Kebangsaan dari Presiden Barack Obama pada 2010, dan kemasukan ke dalam Rock & Roll Hall of Fame pada 2013.

Jones dilahirkan di Chicago pada 14 Mac 1933. Beliau merupakan anak kepada Quincy Delight Jones, seorang pemain besbol separuh profesional dan tukang kayu, serta Sarah Frances, seorang pegawai bank dan pengurus kompleks apartmen.