Yasmin At Kong Heng bukan sekadar muzium biasa. Terletak di Ipoh, destinasi kegemaran pengarah Yasmin Ahmad sebagai lokasi setiap filem arahannya, pengembaraan untuk meneroka muzium tersebut akan bermula di KL Sentral.

Bayangkan perjalanan dengan keretapi ke Ipoh akan diiringi filem-filem yang pernah diarahkan olehnya. Rabun, Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf dan Talentime akan menjadi peneman anda selama 2 jam sehinggalah tiba di Stesen Keretapi Ipoh.

Setibanya di Ipoh, Yasmin At Kong Heng terletak tidak jauh dari stesen keretapi itu. Berjalan sedikit tidak jauh dari stesen itu, kita akan melalui Masjid Negeri Ipoh, lokasi ikonik penggambaran filem Muallaf sebelum singgah di di sebuah restoran berdekatan yang pernah menjadi lokasi penggambaran filem yang sama.

Yasmin At Kong Heng

Melalui lorong kecil di belakang sederet rumah kedai, di situlah letaknya muzium yang akan mengabadikan kenangan peminat-peminat Yasmin.

Masuk ke ruang dalam muzium Yasmin At Kong Heng, tetamu akan disambut dengan suara pengarah tersohor itu. Mendaki tangga untuk melihat sendiri pesan-pesan yang pernah ditinggalkan oleh beliau juga foto yang mengingatkan kita kembali pada salah satu adegan dalam filem Sepet.

Muzium itu akan mempamerkan sejarah peninggalan Yasmin antaranya koleksi iklan-iklan nukilannya yang tidak pernah kita lupakan setiap kali menjelang musim perayaan.

Bahan pameran yang ada termasuk dalam bentuk instalasi video, visual multimedia, teks dan grafik.

Pembinaan muzium tersebut bukan berniat untuk mengagung-agungkan Yasmin, sebaliknya sebagai kenangan buat penggemarnya yang selama ini pernah hadir dalam kehidupan kita, kata Fatimah Abu Bakar sebagai pembuka bicara.

Muzium tersebut dijangka siap sepenuhnya pada Ogos tahun ini. Pereka terkenal Ng Sek San bertanggungjawab sebagai pereka landskap dan muzium tersebut direka oleh arkitek Kamil Merican. Pereka hiasan dalaman muzium tersebut dipertanggungjawabkan kepada Wei Ming.

Kehadiran Yasmin sering menjadi perangsang untuk mengajar kita tentang cinta. Beliau tidak pernah lupa untuk menggalakkan kita untuk sentiasa memaafkan dan kini semuanya terus tersimpan dalam hati kita semua.

Malam tadi berlangsungnya “Malam Yasmin At Kong Heng” di Plan B, Publika, ruang untuk mereka yang sentiasa menyokong kerjayanya bertemu dan mengumpul dana bagi membantu pembinaan muzium tersebut.

Malam itu, tetamu yang hadir dihiburkan dengan nyanyian dan bacaan puisi mengimbas kenangan-kenangan manis bersama pengarah itu.

Setiap nyanyian dan bacaan puisi dilelong sebelum penyanyi dan pendeklamasi sajak membuat persembahan.

Nyanyian penyanyi Adibah Noor yang menyampaikan lagu Terlalu Istimewa dilelong pada harga RM1000.

Persembahan penyanyi meningkat popular Amir Jahari dan Dina Nadzir pula masing-masing bernilai RM2000.

Penyanyi yang pernah dicungkil bakat lakonannya dalam filem Talentime, Jaclyn Victor dilelong pada harga RM5000, begitu juga penyanyi malar segar Salamiah Hassan.

Persembahan puisi oleh anak emas Yasmin sendiri, Sharifah Amani bernilai RM2000.

Secara keseluruhan, jumlah dana yang berjaya dikumpul pada malam tersebut bernilai RM42,000, termasuk sumbangan para dermawan.

Kemuncak persembahan pada malam tersebut diberikan oleh ibu dan bapa Yasmin, yang lebih dikenali sebagai Mak Inom dan Pak Atan.

Mak Inom dan Pak Atan di Malam YasminMereka menyampaikan kembali lagu Hujan, yang pernah mereka bawakan dalam filem Mukhsin.

Muzium Yasmin At Kong Heng tidak akan menjadi realiti tanpa sokongan The Old Block Sdn Bhd, gabungan pemilik deret rumah kedai di sekitar Kong Heng yang turut disokong Datin Julie Song.

Turut menyokong ialah Benjamin Yong dari The Big Group.

Sumbangan boleh dibuat kepada:

The Old Block Sdn Bhd - Yasmin Ahmad Museum (Maybank Bhd)
No akaun : 558024310056