Apabila Koridor Raya Multimedia (MSC) dilancarkan kira-kira 16 tahun lalu, tujuannya adalah untuk memacu Malaysia ke era teknologi maklumat dengan memanfaatkan bakat mereka yang inovatif dan syarikat-syarikat.

Objektifnya adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai hab multimedia berpaksikan ekonomi berteraskan pengetahuan dengan memperkenalkan cara-cara baharu bekerja dan kehidupan dalam tempoh 20 tahun.

Sama ada Malaysia berada dalam landasan untuk merealisasikan potensi sebenarnya bergantung dengan siapa seseorang berinteraksi.

Adakah rakyat Malaysia dapat menyerlahkan dan menterjemahkan kepelbagaian budaya mereka, perkara yang sering ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk meraih kelebihan?

Sejak beberapa tahun yang lalu, kerajaan memberi lebih tumpuan kepada industri kreatif. Pada 2010, sebagai contoh, eksport kandungan kreatif hanya berjumlah RM200 juta tetapi jumlahnya meningkatkan kepada RM565 juta pada 2013.

KL Converge 2014 yang berlangsung baru-baru ini membuka pandangan baharu dalam industri kerana ia merungkaikan apa yang telah dicapai dan apa yang termaktub pada tahun-tahun akan datang dalam penghasilan filem, muzik, aplikasi mudah alih, komunikasi jalur lebar dan memanfaatkan Internet untuk kegunaan yang produktif.

KL Converge 2014, persidangan dan pameran pelbagai platform untuk industri kreatif dan kandungan digital, dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), dua entiti di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) untuk membolehkan pelawat melihat, sentuh, rasa dan mendengar "Internet of things".

Pada akhir KL Converge 2014, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatnya sebagai kejayaan besar dalam membuka peluang lebih luas kepada rakyat Malaysia untuk menerajui usaha ke arah kemajuan kandungan digital dan industri kreatif.

Walaupun sumbangan industri ini kepada keluaran dalam negara kasar Malaysia masih kecil pada masa ini, potensinya untuk masa depan amatlah besar jika ia menuju ke landasan sebenar untuk dimanfaatkan.

Justeru, Ahmad Shabery menekankan apabila melancarkan inisiatif "Road to Global Cinema" oleh FINAS bahawa rakyat Malaysia perlu memperluaskan minat serta pengetahuan mereka dan tidak hanya tertumpu kepada pasaran tempatan.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa filem Malaysia telah menembusi pasaran seperti di Singapura, Hong Kong dan Taiwan. Dan Pengerusi FINAS, Datuk Md Afendi Hamdan, optimistik bahawa penubuhan Pinewood Studios di Johor akan menjadi pemangkin bagi pengeluaran filem tempatan untuk pasaran eksport.

Bagaimanakah pengarah filem Malaysia boleh membuat impak di luar negara? Roger Christian, pencipta "lightsaber" dalam filem Star Wars, berkata mereka perlu memberi tumpuan kepada filem yang memberi kepuasan dan mencerminkan keikhlasan untuk menerima sanjungan antarabangsa dan ia bukan sekadar memenuhi permintaan pasaran.

Dan pengeluar tempatan juga tidak harus membuat perbandingan dengan Hollywood kerana perbezaan yang luas daripada segi sumbner dan bajet, kata beliau.

Sementara itu, pendirian kerajaan yang proaktif, telah mendorong Prime Focus, syarikat yang terkenal dengan kepakaran menghasilkan kesan khas dalam filem Transformers untuk meninjau kerjasama dengan pemain-pemain industri di Malaysia.

"Malaysia mempunyai infrastruktur dan kerajaan benar-benar memberi tumpuan kepada usaha mempromosikan segmen (kreatif), kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Namit Maholtra. Bagi aplikasi mudah alih, satu lagi bidang yang menguntungkan dalam era kecanggihan internet, tinjauan dalam kalangan pemaju aplikasi Malaysia adalah sihat, satu petunjuk bahawa rakyat Malaysia berani mendepani cabaran dalam bidang ini.

Marcos Lara, seorang tekno usahawan dan pereka produk dari Lembah Silikon, berkata rakyat Malaysia mempunyai bakat dan kekuatan dalam bidang ini.

Hiew Chee Choong, perunding analisis dengan Kesatria, rakan kongsi Google Analytics, berkata kebanyakan permainan video yang dibangunkan dalam negara disasarkan untuk pasaran luar negara.

Su Ann Lim, peneraju di Google Malaysia Partnership, mendedahkan bahawa 60 juta aplikasi telah dimuat turun di Malaysia setiap bulan manakala 59 peratus pengguna memuat turun aplikasi permainan dan 80 peratus daripada masa mudah alih dihabiskan untuk aplikasi pada Ogos tahun ini.

Berdasarkan kesedaran ini, KL Converge 2014 juga menyaksikan pelbagai aplikasi mudah alih dipamerkan atau diumumkan. Ia termasuk aplikasi bagi membeli tiket penerbangan; membolehkan pelancong berhubung satu sama lain apabila tiba di destinasi melaporkan jalan berlubang dan kerosakan infrastruktur yang lain kepada kerajaan tempatan di lokasi tertentu; mesej Bahasa Malaysia dan forum 'chatting' dengan aliran pendapatan pasif untuk pengguna yang mempromosikan aplikasi dan ciri-ciri tertentu; dan aplikasi yang menggalakkan penggunaan pengangkutan awam seperti bas dan tren.

Berita baik adalah KL Converge 2015 menjanjikan untuk menjadi lebih baik!