PENYANYI antarabangsa Mariah Carey bakal muncul dalam program realitinya sendiri.

Memetik laporan US Weekly, program itu akan diberi tajuk ‘Mariah’s Squad’ dan bakal memberi akses kepada penonton disebalik tabir pembikinan persembahan beliau di Las Vegas, ‘Mariah #1 to Infinity’.

Selain itu, kru produksi akan mengikut Mariah dalam siri jelajah konsert dua bulan di Eropah.

“Rancangan ini tentang Mariah dan kru beliau. Dia begitu lucu di hadapan kamera,” kata seorang sumber kepada Us Weekly.

Majalah itu turut melaporkan bahawa khabar angin yang Mariah bakal melancarkan program realiti bertiup kencang apabila beliau merupakan satu-satunya selebriti yang hadir dengan kru produksi di parti Oscars anjuran Elton John AIDS Foundation.

Berita ini pastinya mengejutkan ramai pihak setelah Mariah pada tahun lepas berkata beliau tidak akan menerbitkan sebuah program realiti.

“Saya tidak tahan untuk ada sebuah program realiti. Saya tidak tahan kalau ada kru kamera yang sentiasa akan mengikut saya,” kata beliau dipetik dari Billboard.com.