SEORANG pengaturcara permainan digital sanggup berhabis 210,000 yuan (RM133,770) untuk membeli 25 buah telefon pintar jenis iPhone X semata-mata mahu melamar kekasihnya.

Lelaki bernama Chen Ming itu telah membuat pesanan awal untuk mendapatkan model terbaharu telefon keluaran Apple itu yang dilancarkan di negaranya, China pada 3 November lalu.

Selepas memperoleh kesemua iPhone X itu, Chen menyusun telefon pintar tersebut dalam bentuk hati di atas taburan kelopak bunga mawar.

Teman wanitanya, Lee, tidak menyangka kejutan yang dirancang Chen dengan rakan-rakannya bertujuan untuk melamarnya.


"Lee terus menerima lamaran tersebut selepas Chen melutut di hadapannya," kongsi sumber terdekat pasangan itu seperti yang dilaporkan World of Buzz.

Chen dan Lee bertemu dua tahun lalu menerusi aplikasi permainan digital yang dihasilkan oleh lelaki itu.

Jumlah 25 buah telefon pintar itu pula melambangkan umur teman wanitanya, 25 tahun.

Rakan-rakan Lee juga bertuah kerana masing-masing mendapat sebuah telefon pintar model sama daripada Chen.



Di China, iPhone X berharga 8,388 yuan (RM5,434) seunit.

Selepas gambar lamaran Chen kepada Lee itu tular di media sosial, kebanyakan netizen menyifatkan kaedah itu membazir memandangkan wang itu boleh digunakan untuk bayaran pendahuluan kenderaan atau rumah.




Sebenarnya, lamaran kekasih menggunakan telefon pintar pernah berlaku tiga tahun lalu apabila seorang lelaki di China membelanjakan RM400,000 untuk membeli dan menyusun 99 buah iPhone 6 demi melamar kekasihnya.

Namun, lamaran itu ditolak!

Olahan oleh: Amri Hassan