Apple bangunkan loceng pintu pintar dilengkapi pengecaman wajah
Apple dilaporkan sedang membangunkan loceng pintu pintar yang hadir dilengkapi dengan sokongan pengecaman wajah seumpama Face ID.
Amanz
Mon Dec 23 2024
Apple dijangka menawarkan teknologi pengecaman wajah yang diintegrasikan bersama penawaran loceng pintar. - Foto Amanz
AMAZON sedia menawarkan sokongan loceng pintu pintar yang dilengkapi dengan kamera, memudahkan untuk mengetahui apabila penghantaran barangan berlaku.
Tidak setakat Amazon, kini Apple turut dilaporkan sedang membangunkan loceng pintu pintar yang hadir dilengkapi dengan sokongan pengecaman wajah seumpama Face ID.
Dengan adanya produk baharu ini, ia akan memudahkan pengguna memasuki rumah secara automatik selepas imbasan wajah, lebih kurang sama seperti Face ID.
Ini turut akan membawa kepada sokongan nirkunci untuk rumah.
Apple dijangka menawarkan teknologi pengecaman wajah, dan diintegrasikan bersama penawaran loceng pintar.
Menurut Bloomberg, pembangunan loceng pintu pintar ini pada peringkat awal, dan mungkin hadir seawal penghujung 2025 kelak.
Ia juga dijangka menggunakan pelbagai komponen dan cip yang dibangunkan oleh Apple sendiri.
Produk ini juga dijangka menjadi antara produk ditawarkan oleh Apple dalam memfokuskan kepada pasaran rumah pintar seawal tahun hadapan.
Menurut laporan sama, ia turut diperkatakan Apple mungkin bekerjasama dengan pihak lain untuk mengelak penggunaan jenama mereka bagi loceng pintu pintar ini.