Menerusi entri di Instagram (IG), Noraniza atau lebih mesra dipanggil Kak Ani membuatkan netizen sebak apabila membaca ucapan yang ditulis olehnya.
"HAPPY BELATED BIRTHDAY MAK. Mak pergi selepas 3 hari Ani sambut hari lahir sendirian. Tahun 2004 ini terlalu banyak kenangan pahit yang dilalui sendirian tanpa mak.
"Hanya mak yang selalu pertahankan anak-anak mak. Selalu bawa mak jalan petang-petang sekeliling taman Mini sebelum mak jatuh sakit. Kita pimpin tangan sambil berjalan bercerita muka mak menahan sakit kaki dalam senyuman dengan wajah mak yang pucat.
"Mak masih ingat janji kita untuk pakai sepanjang masa barang kemas hadiah hari jadi mak. Walaupun tau mak ada rahsiakan sesuatu tapi Ani tak mahu mak susah hati.
"Tak pernah lekang nama mak dalam setiap doa. Terima kasih mak. Mendidik dengan kasih sayang mak. Terasa rindu sangat pelukan setiap kali tidur dengan mak.
"Terngiang-ngiang suara mak yang lembut setiap kali berkata-kata dengan senyum sepanjang masa. Menahan sebak dengan linangan air mata mak setiap kali berkecilhati. Maafkan kami mak.
"Setiap kali rasa sedih maklah yang akan beri kekuatan dengan kata-kata semangat. Maklah yang akan susah hati buatkan air yasin untuk tenangkan kami. Maklah yang akan bangun bertahajud mohon pada Allah untuk kami. Maklah yang pilih kain dan jahitkan baju dengan tangan mak sebagai rutin pagi raya.
BACA JUGA: "Tiba-tiba hujan lebat berhenti, cuaca tenang semula dan telefon berbunyi" - Noraniza Idris
"Maklah yang pimpin tangan kami setiap kali berjalan tuju ke pejabat temankan mak. Semua pengorbanan mak sentiasa kami ingat dan tidak ada tolok banding. Kasih sayang mak sentiasa segar dalam sanubari. Akak dah pergi ikut mak. Tinggal kami 3 beradik perempuan yang tinggal di dunia yang penuh cabaran.
"Kami akan terus mendoakan kesejahteraan mak di alam barzakh. Semoga setiap doa-doa kami terus diangkat dan dimakbulkan. Semoga mak sentiasa di syurgaNya di kalangan orang-orang beriman yang lain. Semoga Allah mengampunkan dosa kami kepada mak. Terima kasih mak," tulisnya.
Rata-rata mengakui sedih dengan luahan yang dilakukan oleh Kak Ani dan berharap agar sentiasa mendoakan yang terbaik untuk maknya disana.