KUALA LUMPUR: Mana-mana wakil rakyat atau pemimpin yang 'lembab' akan ditukar sebagai reformasi dalam menguatkan jentera kerajaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, perjuangan yang dikecapi negara ketika ini adalah hasil daripada penderitaan dan air mata rakyat bawahan. 

"Ini agenda kita, perkuatkan jentera kita, Siapa yang lemah kita tukar. Mana-mana wakil rakyat atau pemimpin yang lembab kita tukar kerana dia jangan lupa Anwar sebagai Perdana Menteri atau Menteri Besar atau menteri atau pemimpin-pemimpin, ingat dari derita, dari air mata, dari luka dan darah serta perjuangan rakyat bawahan.

"Bila kita bertapak, tiada pembesar, tiada orang kaya, tiada Tun atau Tan Sri, yang bersama kita, yang ada ini... semangat rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Himpunan Keadilan: Suara Rakyat Suara Keramat di sini, pada Jumaat.

Justeru, Anwar mengingatkan pemimpin untuk terus bekerja kerja serta memperkuatkan jentera.

Perhimpunan yang bertemakan Dari Reformasi ke Malaysia MADANI itu dihadiri kira-kira 10,000 penyokong.