SELEPAS lama berteka-teki, penyanyi Yuna akhirnya memuat naik satu status yang dilihat memberi gambaran tentang hubungannya dengan seorang penerbit.

Luahan perasaan di akaun Instagram pada Selasa membayangkan kebahagiaan yang sedang dilalui Yuna, seolah-olah mengiyakan gosip cinta yang digembar-gemburkan terjalin antara dirinya dan lelaki bernama Adam Sinclair itu.

Dalam status tersebut, Yuna meluahkan rasa terharu dan penghargaannya buat Adam yang disifatkan sebagai lelaki yang sangat baik serta memahami diri dan kerjayanya.


Kata Yuna, dia cukup bertuah mengenali Adam yang sanggup menerima dirinya biarpun perlu 'berkongsi' dengan para peminatnya.

Tingkah laku Adam yang tidak kekok untuk turun bergaul dan bermesra dengan para peminatnya dalam Festival Lovelifest 2017 baru-baru ini, antara yang dipuji Yuna.

Adam, ujar Yuna, membuatkan dirinya sentiasa kuat untuk menghadapi segala cabaran dalam hidup namun dalam masa yang sama, tidak lupa untuk berseronok dan menikmati kehidupan sebagai manusia biasa.

"Saya terkilan kita tak dapat mengabadikan momen bersama ketika festival itu kerana perlu melayani peminat, tapi InshaAllah akan tiba satu saat di mana masa itu hanya untuk kita berdua sahaja," tulis Yuna.

Yuna, 30, sebelum ini digosipkan telah bertunang dengan Adam, namun berita itu telah dinafikan pengurus Yuna.