KUALA LUMPUR: Seorang komposer muzik Malaysia melakar sejarah tersendiri apabila namanya tercatat dalam Lincoln Book of Records di India, selepas memimpin persembahan muzikal selama enam jam 40 minit, sempena Hari Malaysia pada 16 September.

Vijayanathan Dhaharasen atau lebih dikenali sebagai Komposer Jay dikatakan pemuzik pertama di dunia yang mencatat rekod tersebut .

Penampilan secara marathon itu, juga bersempena dengan Hari Kebangsaan ke-64, disertai 104 pelajar dan guru muzik dari 13 negeri dan Wilayah Persekutuan dengan setiap peserta menghantar rakaman persembahan mereka melalui telefon bimbit.

Persembahan itu menggabungkan lagu-lagu patriotik Malaysia, bacaan puisi dan pidato kenegaraan oleh pelajar berusia antara enam hingga 15 tahun.

"Anugerah antarabangsa ini diberikan sebagai penghargaan kepada semua 104 pelajar dan guru muzik saya di seluruh Malaysia atas usaha gigih mereka menjayakan maraton muzik ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sebelum ini, Vijayanathan, yang berasal dari Pulau Pinang dan mengendalikan 'Jays Online Music' di Kuala Lumpur, telah menerima Anugerah Edison Tamil Nadu pada 2018 di bawah kategori pengarah muzik terbaik.

Beliau juga berpeluang menyanyi di bawah pengarah muzik terkemuka India James Vasanthan untuk lagu berjudul 'Yenna Solla', dari filem 'Azhagu Magan'.

Pada Mei 2017, vokalis dan guru vokal itu bersama 66 orang muridnya diiktiraf mencipta rekod "Most Number of Composers in a Single Album" yang turut mendapat pengiktirafan Malaysia Books of Records.

Album yang menampilkan 19 lagu, digubah, dinyanyikan dan ditulis 66 murid dengan pelancaran audio berlangsung di Pusat Seni Petaling Jaya pada Mei 2017.

Lincoln Book of Records diwujudkan untuk mengiktiraf mereka yang menunjukkan pencapaian luar biasa dan membuktikan kemampuan kepada masyarakat.

-- BERNAMA