AGENSI yang mewakili pelakon Kim Soo Hyun, Gold Medalist mengeluarkan kenyataan pada Jumaat, mengesahkan bahawa bintang Queen of Tears itu pernah menjalinkan hubungan dengan mendiang aktres Kim Sae Ron.

Namun agensi Gold Medalist menafikan hubungan itu dijalinkan ketika Sae-ron di bawah umur.

"Tidak benar Kim Soo Hyun menjalin hubung dengan Kim Sae Ron semasa dia masih di bawah umur," kata Gold Medalist dalam kenyataannya.

Agensi itu berkata, mereka mula menjalin hubungan dari musim panas 2019 hingga musim luruh 2020.

Ketika hubungan itu bermula, Sae Ron berusia 19 tahun, manakala Soo Hyun berumur 31 tahun.

Dalam kenyataan itu, Gold Medalist juga memaklumkan Soo Hyun "menunjukkan tanda-tanda ketidakstabilan psikologi yang membimbangkan" dan kini sedang berehat.

Ia susulan perhatian media berkaitan hubungannya dengan Sae-ron, yang menyebabkan "tekanan psikologi" kepada pelakon itu.

Gold Medalist mendakwa pendedahan yang dibuat telah "memutarbelitkan kebenaran" dan mendedahkan "perkara peribadi dua individu tanpa persetujuan mereka.

"Sejak pendedahan dibuat, Kim Soo Hyun berada dalam kekeliruan yang melampau kerana dakwaan bahawa dia adalah punca kematian mengejut Kim Sae-ron," kata agensi itu lagi.

Kim Sae-ron ditemui mati pada usia 24 tahun di rumahnya di Seoul pada 16 Februari lalu, yang juga merupakan hari lahir Soo Hyun.