Sudir, nama yang akan terus meniti bibir peminatnya saban tahun, tidak pernah lekang namanya dari ingatan terutama para peminatnya.
Awal pagi tadi, anak saudara kesayangan Sudirman Hj Arshad, Atai bersama keluarga dan beberapa peminat hadir ke Tanah Perkuburan Islam Chengal untuk menziarahi pusara Penghibur Nombor Satu Asia itu.
Atai anak saudara Allahyarham bersama keluarga dan peminat di pusara Allahyarham Sudirman Hj Arshad di Tanah Perkuburan Chengal, Pahang. - Foto Facebook Sudirman Hj Arshad
Sudir legenda muzik negara, tiada galang ganti dan legasi yang ditinggalkannya terus segar hingga ke hari ini.
Siapa yang boleh melupakan lagu-lagu ikonik Allahyarham antaranya Pelangi Petang, Merisik Khabar, Warisan, Milik Siapakah Gadis Ini, Sepetang Di Pinggir Bukit dan banyak lagi.
Bait lirik daripada lagu nyanyiannya, Warisan baru-baru ini diangkat sebagai tema Hari Kebangsaan yang ke-57 "Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta".
Lagu-lagu seperti Terasing, Basikal Tua, Jauh Di Sudut Hati, Di Dalam Sepi itu terus menjadi pilihan peminat-peminatnya di media sosial.
Melangkaui batas bangsa, agama dan generasi, Sudirman terus diingati sampai bila-bila seperti contohnya tuit-tuit di bawah. Rata-rata yang melakar kenangan mereka adalah di kalangan remaja generasi Y yang masih belum dilahirkan sewaktu nama Sudir berada di kemuncak.
Semoga Allahyarham Sudirman Hj Arshad tenang di persemadiannya. Al-Fatihah.