Masalah yang timbul dalam penjualan tiket konsert Taylor Swift oleh Ticketmaster turut menarik perhatian beberapa peguam negeri di Amerika Syarikat.

Selepas ribuan peminat berkongsi kemarahan apabila gagal membeli tiket, peguam terkemuka di Nevada, Tennessee dan Pennsylvania antara yang telah memulakan siasatan ke atas insiden itu.

Peguam Negeri Pennsylvania, Josh Shapiro, yang baru-baru ini memenangi persaingan sebagai Gabenor Pennsylvania, memaklumkan firmanya telah menerima aduan agar insiden itu segera disiasat.

Di Tennessee, Peguam Jonathan Skrmetti berkata beliau mahu memastikan peminat mempunyai peluang yang sama rata untuk membeli tiket.

"Tiada dakwaan pada masa ini mengenai sebarang salah laku, tetapi sebagai peguam negara adalah tugas saya untuk memastikan bahawa undang-undang melindungi pengguna," kata Skrmetti kepada pemberita.

Sementara itu, di Nevada, pejabat peguam negara berkata ia sedang menyiasat Ticketmaster atas dakwaan amalan perdagangan yang menipu atau tidak adil.

Kekecohan bermula apabila peminat berdaftar yang diberi kod untuk pra-jualan pada Selasa cuba mendapatkan tiket untuk jelajah Swift, The Eras, tahun depan.

Namun ramai yang mengadu pembelian mereka ditangguhkan selain menerima mesej ralat. Ticketmaster berkata masalah bot dan permintaan yang terlalu tinggi sebagai punca.

Swift meluahkan kekecewaan dalam satu kenyataan yang panjang lebar, memaklumkan dia merasa ditipu apabila Ticketmaster sebelum itu mendakwa boleh menangani permintaan tinggi.

"Sangat sukar bagi saya untuk mempercayai entiti luar, dan saya kecewa melihat kesilapan berlaku tanpa diperbetulkan," kata Swift.

Ticketmaster berkata lebih dua juta tiket telah dijual walaupun berdepan masalah, dan hanya 15 peratus daripada bakal pembeli menghadapi masalah dalam proses pembelian.