KUALA LUMPUR: Masalah cetak rompak yang terus berleluasa hari ini sebenarnya berpunca daripada kurangnya penghargaan penonton terhadap hasil karya tempatan.

Pelakon dan pengarah, Megat Sharizal berpendapat, mentaliti negatif yang melingkari produk keluaran penggiat seni tempatan menjadi faktor cetak rompak terus berakar umbi dalam industri seni negara.

"Penonton kita ada mentaliti, filem tempatan berkualiti rendah. Mereka fikir, buat apa nak keluarkan duit banyak semata-mata nak dapatkan hasil yang tidak memuaskan hati. Mereka rasa, dengan nilai yang sama, boleh dapat filem yang lebih berkualiti dari luar.

"Saya ambil contoh, filem yang ditayangkan menerusi Astro First. Tidak sampai berapa minit mula ditayangkan, kita sudah boleh jumpa filem itu di YouTube atau platform lain yang membolehkan ia dimuat turun dengan senang.

"Jadi semua ini berbalik kepada sikap dan mentaliti penonton. Kalau nak betulkan situasi ini, kita kena didik penonton kita untuk menghargai karya tempatan," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI.

BACA: Cetak rompak: Hukuman kepada pesalah harus setimpal kerugian karya - Seniman

BACA: 'Rasuah punca cetak rompak masih berleluasa' - Nasir Jani

BACA: Aspirasi Astro bersama anak seni #StopPiracyLah #NoToLanun

Tambah Megat Shahrizal, mungkin sudah tiba masanya Malaysia mengikut jejak langkah Iran dan Korea Selatan dengan mengambil langkah drastik mengurangkan dan menyekat karya dari luar negara.

Biarpun tindakan itu mungkin menyebabkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penonton, namun dalam jangka masa panjang, ia membantu meningkatkan kualiti karya tempatan, sekali gus mendidik dan mengelakkan orang ramai membeli hasil cetak rompak.

"Di Indonesia, daripada 10 buah filem yang ditayangkan di pawagam, lapan daripadanya adalah filem tempatan. Di Korea Selatan, kalau tak silap, mereka sekat terus kemasukan filem luar untuk beberapa tahun.

"Jadi penonton tak ada pilihan selain menonton filem tempatan. Dan daripada situ, ia melonjakkan semangat pembikin filem mereka untuk bersaing menghasilkan karya terbaik.

"Sekarang, kita nampak hasilnya di mana filem-filem yang mereka hasilkan sangat tinggi kualiti,"ujarnya.

Justeru, pelakon Terbaik Dari Langit ini melihat cara terbaik untuk membanteras cetak rompak adalah memfokuskan kepada meningkatkan apresiasi penonton terhadap hasil karya tempatan.

"Badan-badan berkaitan boleh bekerjasama dengan pihak pawagam untuk cari langkah terbaik yang boleh menguntungkan kedua-dua pihak.

"Kena tengok perkara ini dari sudut jangka panjang, hasilnya bukan dalam masa beberapa bulan.

"Jika penghargaan orang ramai terhadap karya kita semakin tinggi, karya kita juga akan semakin berkualiti, penonton takkan rasa berat nak keluarkan duit beli karya yang asli," katanya.



** Astro AWANI kini dalam usaha membantu industri seni tanah air membanteras cetak rompak menerusi kempen #NoToLanun. Berikan pandangan anda menggunakan tanda pagar #NoToLanun & #StopPiracyLah jika anda ingin bersama-sama membantu menyelamatkan industri seni tempatan.