Pengurus Saluran Astro Ria (104), Raqim Ahmad menjelaskan pihak Astro bersetuju dan bersedia melepaskan pelakon Rozita Che Wan yang berhasrat untuk tidak meneruskan tugasnya sebagai juri tetap program realiti Akademi Fantasia 2015 bermula minggu hadapan.

Menurut Raqim, perbincangan di antara pihak produksi telah diadakan dan menerima keputusan Rozita Che Wan untuk menarik diri terus daripada terlibat dengan #AF2015.

“Setelah berbincang dengan pihak produksi, kami bersedia untuk melepaskan Rozita Che Wan yang mengambil keputusan untuk menarik diri sebagai juri tetap di program Af2015.

“Kami menghormati keputusan beliau dan setakat ini kami masih lagi belum menentukan siapa individu yang lebih layak untuk menggantikan tempat yang telah dikosongkan oleh Che Ta,” jawab Raqim sewaktu dihubungi portal Astro Gempak.

Jelas Raqim lagi, pihak Astro tiada tindakan susulan akan diambil terhadap Rozita Che Ta walaupun mempunyai baki empat minggu untuk mengadili pentas #AF2015.

“Tiada tindakan susulan akan diambil ke atas Che Ta kerana kami menghormati keputusan yang dibuat oleh beliau. Mungkin Che Ta mempunyai pendapat berbeza yang mungkin tidak sama dengan pandangan umum mahupun pengetua #AF2015 sendiri.

“Sebab itu kita ada Dato’ Ramli MS menilai para teknikal peserta #AF2015 daripada sudut teknikal berbeza dengan Che Ta,” jelas Raqim lagi.

Raqim turut menjelaskan ketiadaan Rozita Che Wan untuk konsert yang akan datang sama sekali tidak akan menjejaskan rating program #AF2015.

“Ketiadaan Rozita Che Wan sama sekali tidak akan menjejaskan rating #AF2015 kerana seperti yang kita tahu program Akademi Fantasi mempunyai peminat mereka yang tersendiri. Malah para peserta sendiri mempunyai peminat mereka yang sentiasa menonton konsert mingguan untuk memberi sokongan,”ujar Raqim.

Dalam pada itu, pihak produksi masih belum lagi memilih individu yang lebih layak untuk menggantikan tempat Rozita Che Wan setakat ini.

“Untuk setakat hari ini, kami belum lagi mempunyai membuat keputusan siapa yang lebih layak untuk menggantikan tempat Che Ta untuk konsert minggu hadapan.

“Insya Allah dalam masa terdekat pihak Astro bakal menentukan individu yang sesuai untuk dilantik menjadi juri tetap #AF2015,” kata Raqim mengakhiri perbualan.

Ahad minggu lalu Rozita Che Wan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan lagi tugasnya sebagai juri tetap program realiti Akademi Fantasia 2015 bermula minggu hadapan selepas diherdik Pengetua #AF2015 Edry Abdul Halim yang tidak berpuas hati dengan kritikan terhadap pelajar AF.