Bagi melengkapkan portfolionya sebagai penyanyi solo, Damian muncul dengan single pertama berjudul Hidayah.
"Jika kita bercakap mengenai hidayah, apa yang orang faham adalah petunjuk daripada ALLAH SWT kepada insan yang terpilih. Hidayah seringkali sinonim dengan insan yang baru memeluk agama Islam. Bagaimanapun hidayah itu sendiri merangkumi sesuatu perkara yang lebih menyeluruh.
"Susunan muzik lagu in cukup sederhana sesuai dengan mesej hidayah itu iaitu merupakan sesuatu yang masih segar buat saudara baru. Hanya iringan gitar dan cello sudah cukup menghadirkan rasa tenang dan damai bagi mereka yang mendengarkannya," katanya yang berharap Hidayah akan menerima sambutan positif.
Lagu hasil sepenuhnya ciptaan Adi daripada kumpulan nasyid Saujana dan diterbitkan secara eksklusif bersama Azalinor Saujana. Ini merupakan kolaborasi pertama mereka dengan Damian.
Lagu Hidayah ini mendapat sentuhan pemuzik yang berpengalaman iaitu Syafiq Vai (gitar) dan Nazrin (cello) daripada kumpulan SOG.
Lebih istimewa, muzik video Hidayah mengetengahkan seorang saudara baru iaitu Maryam Narae, selebriti yang berasal dari Korea Selatan.
Turut dikenali sebagai Maryam DurianKimchi, muzik video itu berjaya menyentuh hati penonton walaupun muzik video ini tidak menampilkan Damian.
“Alhamdulillah syukur dengan single terbaharu kali ini dan saya berharap semua dapat menerimanya dengan baik.
“Selain itu Hidayah itu sendiri memberikan pengertian luas bukan saja mengenai sudara baru malah ia turut memberikan makna lebih luas dan menyeluruh untuk setiap manusia,” ujarnya.
Untuk rekod, kedua-dua mereka memeluk Islam sebagai persediaan pernikahan dengan pasangan masing-masing.
Namun begitu, perjalanan hidayah Damian telah hadir lama sebelum beliau mendirikan rumah tangga iaitu selepas dibangku sekolah lagi apabila sering berkawan dengan sahabat-sahabat beragama Islam.
Lagu ini diterbitkan oleh Scriptology Sdn Bhd dengan edaran digital Euphoria Music dan sudah boleh ditonton di YouTube. -- Sinar Harian