PELAKON Linda Hashim nekad untuk meneruskan penceraiannya dengan Beego dan sedar bahawa mereka tidak dapat rujuk kembali selepas talak kali ketiga dijatuhkan.

Ujar Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 41, dia sudah banyak kali memberikan suaminya itu peluang, namun semua itu disia-siakan.

“Sebelum adanya kali ketiga ini, kita ada kali pertama dan kedua. Peluang kali pertama dan kedua sepatutnya harus dijaga. Bila adanya proses rujuk, harus kita perbaiki tetapi saya tidak nampak perkara itu.

“Banyak kali saya beri peluang dengan memaafkan, menerima segala kekurangan dan kelebihan, tetapi semua itu disiakan-siapkan,” dakwanya.

Linda berkongsi rasa hatinya itu ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah, Jalan Duta pada Khamis.

Dalam masa sama, bintang Tanda Putera itu mengakui malu apabila gagal menyelamatkan rumah tangga yang dibina sejak 11 tahun lalu.

Namun dalam masa sama, Linda berkata, dia reda dengan ketentuan jodoh mereka.

“Saya agak malu sebenarnya untuk berdiri di sini. Saya malu dengan rakan-rakan media, ahli keluarga, saudara-mara dan anak-anak.

“Tiada siapa nak perkara ini berlaku. Ini dugaan saya dan Beego. Saya juga sudah berusaha dengan cara saya sendiri tapi mungkin ini jalan terbaik.

“Dia pun tahu perasaan saya. Dia kena menghormati apa yang saya rasa selama ini. Sekiranya saya memilih untuk tidak bercerai, saya takut jadi tak ikhlas dan itu tidak baik,” jelasnya yang sudah tidak lagi tinggal sebumbung sejak hampir empat bulan lalu.

Dalam pada itu, ditanya mengenai dakwaan menjadi keganasan rumah tangga dan kehadiran orang ketiga sehingga mencetuskan konflik dalam rumah tangga, Linda enggan mengulas lanjut.

“Berkenaan itu boleh tanya Beego. Saya tidak mahu komen lebih-lebih atau panjangkan cerita,” katanya ringkas.

Anak

Sementara itu, mengulas soal tiga cahaya mata mereka iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6, Linda berkata, mereka kini di bawah jagaannya.

Namun dia tidak pernah menghalang Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah untuk bertemu anak-anak.

“Anak-anak memang dengan saya hari-hari tetapi saya tiada halangan untuk dia berjumpa anak-anak. Malah dia juga boleh bertemu saya,” katanya.

Malah akui Linda, anak sulungnya sudah memahami kemelut rumah tangga yang dilalui sejak penceraian kali pertama.

Mereka juga menjadi sumber kekuatan Linda dalam mengharungi setiap dugaan yang datang.

"Anak-anak tahu, terutama anak yang sulung, dia dah faham. Dia dah tahu dan dia pun beri semangat kepada saya dan berikan kekuatan juga.

“Saya lakukan semua ini pun demi anak-anak juga,” luahnya.

Prosiding sebutan cerai kali kedua bakal bersambung pada 6 Mac ini.

Terdahulu, Linda memfailkan penceraian terhadap Beego di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atas alasan sudah tiada persefahaman.

Pada Mei 2023, Linda dan Beego hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak selepas mereka mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023 selepas bercerai pada 27 Mac 2023.

Untuk rekod, Linda dan Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah mendirikan rumah tangga pada Jun 2013. - Sinar Harian