KUALA LUMPUR : Pada zahirnya, barangkali, pandangan masyarakat terhadap personaliti televisyen, Karl Shafek Ibrahim sama seperti dilihat pada orang lain.

Tiada apa yang kurang padanya, dia dilihat sangat sihat, bahkan senyuman yang sering diukir Karl Shafek membuatkannya disenangi ramai.

Namun, di sebalik kesempurnaan yang diperlihatkannya itu, ada duka yang sudah lama dipendamkan.

Ketika peminat dan kenalan beranggapan dia sempurna, Karl Shafek sebetulnya diuji dengan masalah tekanan perasaan.

Jauh di daerah hatinya itu, Karl Shafek menyembunyikan kepayahan yang pernah lama dipendamkannya sendirian.

Emosinya yang terganggu sehingga meragut masa mudanya memaksa Karl Shafek merujuk kepada pakar perubatan bagi memulihkan semula kecelaruan mental yang dialami.

Kepada Astro AWANI, lelaki berusia 41 tahun terbuka berkongsi derita yang dilaluinya, dengan harapan pengalamannya merentasi relung masa yang gelap itu akab menjadi iktibar buat orang lain.

Beli petrol untuk bakar diri

Sejujurnya, anak kelahiran Pekan, Pahang ini mengakui, masalah kecelaruan mental yang dialami amat menggerunkan.

Akibat gangguan emosi juga, sudah beberapa kali dia terperangkap dalam situasi yang hampir-hampir meragut nyawanya!

Kata Karl Shafek, masalah itu mula disedarinya sekitar 2019.

“Waktu itu ramai orang di sekeliling saya mula perasan emosi saya yang tidak stabil di samping sifat perwatakan saya yang mula berbeza.

“Paling ketara saya mula mengalami masalah insomnia (gangguan tidur) sehinggakan saya pernah tidak tidur selama seminggu,” kata memulakan cerita dalam satu pertemuan dengan Astro AWANI baru-baru ini.

Bukan hanya tidak tidur selama tujuh hari, bahkan, Karl Shafek juga pernah membuat ‘kerja gila’ dengan memberi petrol semata-mata untuk menamatkan riwayat hidupnya.

“Ada satu ketika saya pernah ke stesen minyak untuk beli petrol dengan tujuan untuk bakar diri saya.

“Memang saya akui banyak kali ada perasaan untuk tamatkan hidup saya dan ada masa saya gagal kawal dan tidak sedar apa yang saya sedang lakukan,” lama Karl Shafek merenung setiap kali mendedahkan sisi gelap dalam hidup yang pernah dilaluinya itu.

Bersyukur Karl Shafek ketika akalnya kembali waras, pantas dia berfikir untuk memulihkan semula masalah tekanan jiwa yang membelenggunya.

Pendam perasaan undang padah

Memilih untuk menerima rawatan dengan pakar menyebabkan Karl Shafek harus bersikap terbuka dan jujur bercerita mengenai ujian itu.

Seperkara yang sangat diyakini Karl Shafek ialah, dia tidak pernah sama sekali menyentuh barangan larangan atau terlibat dalam kegiatan tidak bermoral.

Sebaliknya, masalah yang dialaminya itu berpunca pada sikapnya yang lebih senang memendam perasaan serta tidak terbuka dengan rakan-rakan sekeliling.

Padahnya, sikap dan pendirian tersebut akhirnya menjerat dirinya sendiri.

Pada penghujung 2019, Karl Shafek juga melalui ujian yang terlalu besar ekoran kecelaruan emosi.

“Saya masih ingat kejadian itu berlaku di rumah ketika saya sedang berdiri di atas sejadah untuk menunaikan solat.

“Namun dua jam selepas itu saya sedar saya berada di luar rumah di tepi jalan besar tanpa memakai baju, hanya berkain pelikat berdiri dalam hujan yang sangat lebat.

“Sebaik memasuki rumah pula, saya terkejut melihat semua barang dalam rumah tunggang-langgang… saya tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi atau bila saya mengamuk.

“Tetapi itulah hakikatnya. Sejurus emosi saya terkawal, saya segera menelefon kawan saya yang juga seorang doktor untuk meminta pendapatnya,” kata Karl Shafek menyambung cerita.

Perbualan bersama rakanya itu akhirnya membuatkan dia bersetuju untuk mendapatkan rawatan di hospital di ibu kota yang akhirnya mengesahkan dia mempunyai masalah kecelaruan dan tekanan mental yang amat serius.

“Sehingga kinipun saya masih lagi mendapatkan rawatan mengikut jadual di hospital berkenaan dan mengambil ubat yang diberikan. Alhamdulillah, saya dapat rasakan perubahan dalam diri,” ujar Karl Shafek yang menyambut perubahan dalam diri dengan penuh kesyukuran.



Untuk seseorang yang melalui episod yang sukar dalam hidup seperti itu, kata Karl Shafek, tidak seharusnya membuatkan seseorang itu malu atau takut untuk berhadapan dengan masyarakat.

“Bagi saya ia (gangguan mental) bukanlah perkara yang memalukan, bahkan sebenarnya ramai yang menghadapinya tanpa kita sedar.

“Saya masih dikira bertuah kerana mendapat sokongan daripada keluarga dan orang sekeliling saya yang positif,” katanya yang sudah dua tahun menjalani rawatan pemulihan.

Dalam usaha untuk kembali bangkit daripada kecelaruan itu, apa yang diharapkan oleh golongan sepertinya ialah sokongan daripada orang sekeliling.

Sokongan keluarga dan rakan-rakan terdekat, katanya, berupaya untuk mengelakkan kejadian buruk daripada berlaku.

“Orang keliling dan yang rapat biasanya mampu mengesan perubahan seseorang dan mereka perlu memainkan peranan yang betul.

“Jangan tinggalkan mereka dan gunakan kebijaksanaan yang sesuai untuk pujuk mereka sehingga mampu dirawat.

“Setiap orang ada masalah berbeza dan pendekatan yang diperlukan juga berbeza. Tapi yang penting mereka bukan gila dan ini adalah salah satu penyakit yang ada rawatannya,” ujar Karl Shafek menamatkan perbualan.