Persembahan yang amat dinanti-nantikan terutama bagi peminat yang telah mengkuti band ini sejak era 1990-an, akan menjadi sebahagian daripada jelajah mereka di Asia Tenggara, selepas Jakarta, Indonesia.
Green Day, yang dianggotai oleh Billie Joe Armstrong (vokalis/pemain gitar), Mike Dirnt (pemain bass), dan Tré Cool (pemain dram) mula mencuri perhatian dengan album sulung mereka, 39/Smooth pada 1990.
Nama mereka mula melonjak ke persada dunia dengan lagu-lagu hits seperti 'Basket Case', 'When I Come Around', dan 'Longview' menerusi album ketiga mereka, Dookie pada tahun 1994.
Album mereka American Idiot yang diterbitkan pada 2004, bukan sahaja mendominasi carta muzik tetapi turut menyentuh hati peminat di seluruh dunia, khususnya generasi muda.
Peminat di Malaysia yang telah menunggu lama untuk kemunculan Green Day, tentunya tidak sabar untuk menyaksikan persembahan secara langsung daripada band legenda ini.
Konsert yang dianjurkan oleh Live Nation ini pastinya bakal menjadi malam yang penuh dengan nostalgia, menghimpunkan peminat lama dan baharu untuk menghayati lagu-lagu yang telah menjadi 'soundtrack' dalam kehidupan mereka.
Untuk ahli Live Nation, tiket boleh diperoleh melalui presale eksklusif Live Nation pada Khamis, 26 September 2024 dari pukul 12 tengah hari hingga 11:59 malam.
Tiket untuk jualan awam akan mula dijual pada Jumaat, 27 September bermula jam 11 pagi, manakala bagi pemegang kad Mastercard, mereka akan mendapat akses istimewa jualan presale bermula Selasa, 24 September 10 pagi hingga Khamis, 26 September 10 pagi.