Apabila berita mengenai telefilem biografi Saloma bakal ditayangkan di kaca televisyen, ramai yang ternanti-nanti untuk menonton riwayat hidup Biduanita Negara itu.

Ditambah pula dengan teaser yang dimuatnaik oleh watak utamanya, Nabila Huda di laman sosial, kisah mengenai telefilem ini menjadi bualan ramai.

Bermula 28 Ogos, telefilem khas biopik Biduanita Negara, Saloma arahan Melissa Saila telah ditayangkan khas di Astro First dan mendapat sambutan yang menggalakkan.

Pujian serta komen mengenai telefilem ini dillihat menjadi antara topik utama di ruang media sosial.















Melissa yang juga anak saudara kepada Saloma berasa terharu dan bersyukur dengan sokongan yang diberikan malah turut mengakui bahawa ini adalah impian ibunya selama ini untuk membawa penonton mengenali Saloma.

“Dua tahun lepas sebenarnya cadangan membuat cerita mengenai Saloma ini telah dibawa ke Astro hasil idea ibu saya sendiri, Mariani. Alhamdulillah, ia akhinya menjadi kenyataan” cerita Melissa ketika kunjungannya ke Astro AWANI.

Kata Melissa yang juga seorang pelakon, bukan mudah untuk menceritakan kisah lagenda negara ini lebih-lebih lagi apabila kebanyakan lagu-lagu Saloma pada awal penglibatannya sebagai penyanyi tidak direkodkan.

“Memandangkan banyak lagu-lagu Saloma semasa mula-mula menjadi penyanyi tidak direkodkan, jadi ia telah dinyanyikan semula oleh penyanyi, Liza Hanim” jelas Melissa.

KLIK UNTUK FOTO DI SEBALIK TABIR SALOMA

TRAILER : Telefilem dua bahagian 'Saloma'

Cerita Melissa lagi, Liza diarahkan menyanyikan semula lagu tersebut mengikut usia dan situasi Saloma di dalam telefilem berkenaan.

Selain lagu-lagu Saloma yang menyentuh perasaan, watak Azhan Rani sebagai AR Tompel juga antara yang paling mendapat perhatian ramai.

“Ya, Azhan sangat komited memegang watak Allahyarham Tompel. Saya memilih Azhan kerana terlihatkan sekeping gambar Saloma bersama Tompel.

Jadi saya buat keputusan, saya mahukan seorang pelakon yang nampak lebih berusia untuk digandingkan dengan watak utama, Nabila Huda agar jurang umur itu akan nampak ketara sama seperti Saloma dan Tompel” kata Melissa.

Sementara itu, pemegang watak utama kisah biopik Saloma, Nabila berkata kisah-kisah lagenda seperti ini perlu banyak diketengahkan.

“Saya sendiri tidak mengenali siapa itu Saloma sebelum ini.

Saya dapat rasakan yang industri seni kita perlukan banyak true story begini untuk kita beritahu dunia, ‘siapa lagenda Malaysia’ ” tegas Nabila.

Kata Nabila, dia sangat bertuah terpilih untuk menjadi Saloma, seorang lagenda yang tabah dan berbakat besar.

“Selain melihat Saloma sebagai anak seni yang bercita-cita tinggi, saya sangat mengagumi kecantikannya serta sebagai seorang fashion icon dan trend setter pada ketika itu” tambah Nabila lagi.

Menurut Nabila, dia sangat berterima kasih kepada Melissa serta warga produksi kerana banyak membantunya menjiwai watak sebagai Saloma.

“Saya banyak bergantung kepada cerita mak Mariani (ibu Melissa) dan Kak Lis (Melissa) dalam membayangkan Saloma.

Tarian, lenggok berjalan serta cara percakapan Saloma semuanya hasil dari tunjuk ajar mereka” jelas Nabila yang mengakui hanya mengambil masa sebulan membuat persediaan menjadi Saloma.

Telefilem yang menjalani pengambaran selama 33 hari sekitar Pulau Pinang ini turut membariskan pelakon- pelakon hebat seperti Tony Eusof, Sazzy Falak, Hasnul Rahmat, Julia Ziegler, Sharifah Amani dan ramai lagi.

Kisah cinta dan liku hidup lagenda negara ini, kini sedang ditayangkan dalam dua bahagian di saluran Astro First Eksklusif.

IKUTI TEMUBUAL BERSAMA MELISSA SAILA DAN NABILA HUDA DI AGENDA AWANI