Filem yang dihasilkan di Malaysia harus diterima sebagai filem Malaysia.

Ini tegas pengarah filem, Dr Mahadi J.Murat yang berpendapat bahawa filem yang lahir dari Malaysia harus diterima sebagai filem Malaysia.

"Satu kaedah harus dicari agar tafsiran mengenai filem Malaysia diunjurkan dengan lebih tepat," kata Dr Mahadi yang merupakan Pengarah Citra Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam perbincangan mengenai pencalonan Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28 di Astro AWANI 745 malam ini.

Manakala, bagi Pengarah Filem, 'Jagat' Shanjey Kumar Perumal pula beliau berpendapat melihat kepada situasi masyarakat Malaysia hari ini, kategori filem mengikut bahasa sudah tidak boleh digunapakai lagi.

"Saya membawa filem Jagat di pertandingan filem antarabangsa di bawah nama Malaysia. Orang luar melihat filem Jagat sebagai filem Malaysia. Jadi kategori bahasa di dalam negara sendiri adalah sesuatu yang tidak perlu," jelasnya yang turut ditemubual di Astro AWANI 745 pada Khamis.

Isu mengenai penambahan dua kategori yang diasingkan mengikut bahasa iaitu Pengarah Filem Terbaik serta Lakon Layar Terbaik untuk filem di dalam Bahasa Malaysia dan bukan bahasa Malaysia menjadi persoalan dalam FFM28.

Dalam masa yang sama, Persatuan Lakon Layar Kuala Lumpur Selangor (Penulis) mengambil keputusan menolak majoriti pencalonan lima teratas FFM kali ini.

Presiden Penulis, Alfie Palermo melalui status di Facebook mempersoalkan adakah langkah mengasingkan kategori mengikut bahasa itu boleh membantu memupuk semangat perpaduan.

Senarai akhir FFM28 yang menyaksikan 27 percalonan telah diumumkan pada Rabu.



Apa pandangan anda? Perlukah pembikin filem diasingkan berdasarkan bahasa? Klik untuk sertai undian Astro AWANI.