Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin hadir ke Eksotikata, pesta puisi 2013 yang berlangsung di Rumah PENA, Kuala Lumpur.

Di majlis yang sama, Khairy sempat mendeklamasikan sebuah puisi berjudul Kekasih, nukilan Sasterawan Negara Datuk Dr Usman Awang.

Menerusi akaun Twitter @KhairyKJ, beliau menyifatkan acara seperti Eksotikata sebagai platform penting ekspresi kepada anak muda yang akan memberi roh kepada pembangunan negara.






Pesta yang diadakan sejak 10 pagi pada Sabtu menghimpunkan ramai anak muda yang meminati puisi dan buku-buku alternatif selain daripada pelbagai acara lain yang diadakan.

Antara acara lain yang diadakan pada pesta puisi 2013 ini adalah plore iaitu marathon puisi, akustik dan seni persembahan.

Selain itu acara seperti Maskara eksotikata, jualan buku dan zine alternatif, buku-buku terpakai dan komik, pelancaran buku serta sesi membida buku turut diadakan.

Dianjur oleh beberapa syarikat pengeluar buku alternatif seperti Pakatan Paradoks, Sindiket Soljah, Sang Freud Press, Selut Press, Studio Anai-Anai dan Projek Rabak, acara ini juga memberi platform kepada golongan muda untuk menunjukkan bakat mereka dalam mendeklamasi puisi mereka sendiri.