TEPAT jam 12 tengah malam waktu United Kingdom (7 pagi waktu Malaysia), single terbaharu Adele "Easy on Me" dilancarkan.

Ia sekali gus menjadi kemunculan semulanya sejak kali terakhir menemui peminat dengan album "25" pada 2015.

Menerusi perkongsian terbaharu di Instagram peribadi, tayangan perdana klip video single tersebut turut dilancarkan.

Selepas satu jam dilancarkan, single terbaharu itu berjaya meraih hampir satu juta tontonan dengan rata-rata peminat mengagumi karya terbaharu pemenang 15 Anugerah Grammy itu.

Selepas enam tahun tanpa buah tangan baharu, Adele turut mengumumkan sebelum ini akan melancarkan album terbaharunya bertajuk “30” pada 19 November nanti.


BACA: Album baharu Adele rakam kisah kehancuran rumah tangga

Sama seperti tajuk-tajuk albumnya sebelum ini seperti “19”, “21”, dan “25”, apa yang didedahkan Adele adalah album kali ini mengisahkan saat sukar dalam kehidupannya.

Ia dirakam dengan hasrat membantu anaknya yang berusia sembilan tahun memahami mengapa kedua ibu bapanya bercerai.

Ia juga sebagai simbolik usianya ketika mengahwini Simon Konecki, sebelum bercerai dua tahun kemudian.