Lagu bertajuk 'Aidilfitri di Malaysia', nyanyian aktor berusia 47 tahun itu telah mendapat lebih 22,000 tontonan, sehingga tengah hari tadi.
Memulakan bait-bait lagu dengan mengucapkan 'selamat hari raya' mewakili semua kaum di Malaysia, lagu berdurasi lebih empat minit itu memiliki aura tersendiri, khususnya dalam melambangkan kepelbagaian kaum di Malaysia.
Lagu yang ditulis dan digubah sendiri oleh Douglas mengetengahkan lirik yang santai, kreatif dan 'catchy', selain turut menampilkan YouTuber, Murty sebagai rakan duet.
Sepanjang nyanyian tersebut, Douglas dan Murty menggambarkan perasaan mereka yang tidak sabar untuk meraikan lebaran yang disambut oleh umat Islam, termasuk menikmati juadah Aidilfitri.
Douglas segak berbaju Melayu dan memakai kemeja berwarna merah yang sinonim dengan perayaan Tahun Baharu Cina, manakala Murty tampil berbaju kurta.
Muzik video 'Aidilfitri Di Malaysia' turut menampilkan pelakon dan penyanyi, Chelsia Ng.
Sementara itu, tinjauan Astro AWANI mendapati rata-rata pengguna media sosial memberikan reaksi positif dan memuji lagu raya yang dihasilkan oleh Douglas.
Segelintir mereka menyifatkan ia antara lagu raya terbaik untuk tahun ini, selain melambangkan perpaduan Malaysia.
"Douglas mengenangkan kembali aura 1Malaysia! Selamat hari raya semua.Tak kira Melayu, India, Cina, Punjabi, Iban, Dusun, Kadazan dan Orang Asli," tulis pengguna media sosial, @JaaBubut.
Sementara itu @Fadzilfauzan berkata: "Pada pendapat saya, dalam banyak-banyak lagu raya yang baharu, lagu ini yang betul-betul ada 'vibe' hari raya yang mencerminkan kita semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum... Terima kasih abang Douglas Lim."
@amoihayat pula meninggalkan komen: "Semua bangun!!! Tabik 'spring' kepada Douglas bersama lagu raya ini. Salute! Muat turun dan simpan, jadikan 'playlist' balik kampung."
"Walaupun muzik video 'home made' sahaja, tetapi meriah dia sampai kita dengar pun rasa. Baru betul lagu raya! Malah, lirik pun jelas. Mantaplah," kata @syiqinkamal.
