BERN: Bintang lagenda, Tina Turner yang cukup terkenal dengan lagu-lagu 'The Best' dan 'What's Love Got to Do With It' meninggal dunia pada usia 83 tahun.

Beberapa tahun kebelakangan ini, wanita yang lahir pada 26 November 1939 ini berdepan dengan masalah kesihatan termasuk kanser, strok dan kegagalan buah pinggang.

Menyusur kembali perjalanan seni bintang ini, Turner meraih populariti bersama bekas suaminya, Ike Turner pada tahun 1960-an dengan lagu-lagu seperti 'Proud Mary' dan 'River Deep, Mountain High'.

Lahir di Tennessee, Amerika Syarikat (AS), Turner pertama kali mendapat peranan sebagai salah seorang penyanyi latar bagi kumpulan The Kings of Rhythm pada 1956 sebelum bergelar penyanyi utama kumpulan itu.

Pasangan suami isteri ini melayari kehidupan berumah tangga selama 16 tahun sebelum bercerai pada tahun 1978.

421071


Menerusi sebuah biografi bertajuk 'I, Tina: My Life Story', Turner mengakui melalui pengalaman sukar ketika berada dalam tempoh perkahwinan.

"Beberapa kali dia menggunakan hidungku sebagai sasaran ketika memukul sehingga saya dapat merasakan darah mengalir di tekak ketika sedang bernyanyi," tulisnya.

Turner dan Ike menempa populariti selepas kejayaan lagu 'Fool in Love' dan 'It's Gonna Work Out Fine'  berjaya menduduki carta AS pada awal tahun 60-an.

Antara lagu popular pasangan ini termasuklah 'Nutbush City Limits' pada tahun 1973 yang mengisahkan tentang bandar kecil tempat kelahiran Tina.

Namun begitu, penderaan fizikal dan emosi suaminya terhadap Turner ternyata memberi impak besar.

Malah, Ike juga mengubah nama asal, Anna Mae Bullock, kepada Tina Turner yang disifatkan salah satu keputusan dibuat tanpa pengetahuan wanita itu.

Dunia mengenali Tina Turner sebagai Ratu Rock 'n' Roll.



KELUAR DARI PENINDASAN, TEMPA POPULARITI SELURUH DUNIA

Turner bangkit dari kegagalan rumah tangga dengan mengembangkan kariernya pada awal tahun 80-an dan 90-an dengan lagu hits seperti 'Let's Stay Together', 'Steamy Windows', 'Private Dancer', 'Golden Eye' (lagu tema James Bond), 'I Don't Wanna Fight' dan 'It Takes Two', duet dengan Rod Stewart.

Beliau juga pernah membintangi filem aksi pada tahun 1985 berjudul 'Mad Max Beyond Thunderdome' yang turut menampilkan lagu hitsnya 'We Don't Need Another Hero' dan The Who's 1975 rock opera 'Tommy' sebagai Acid Queen.

Dunia mengenali Tina Turner sebagai Ratu Rock 'n' Roll dan kehebatan beliau terbukti selepas memenangi lapan Anugerah Grammy malah diabadikan dalam Rock 'n' Roll Hall of Fame pada tahun 2021 berdasarkan sumbangannya kepada industri muzik.

Hall of Fame juga melihat kehebatan Turner mengembangkan idea yang dahulunya terhad tentang bagaimana seorang wanita berkulit hitam berjaya menakluki pentas hiburan dan menjadi individu dengan pelbagai dimensi.

Beberapa bintang muzik terkenal terinspirasi dari Turner termasuk Beyoncé, Janet Jackson, Janelle Monae dan Rihanna.


PENGAKHIRAN BAHAGIA

Turner menemui kebahagiaan bersama suami kedua, Jerman Erwin Bac yang merupakan seorang eksekutif muzik.

Mereka mula berkenalan pada pertengahan tahun 80-an dan berkahwin pada tahun 2013.

Pasangan ini menetap di Switzerland dan Turner mengambil keputusan untuk mengambil kewarganegaraan negara berkenaan.

Disebabkan Turner mengalami masalah kegagalan buah pinggang, Bac menyumbangkan salah satu ginjalnya kepada Turner pada tahun 2017.

Kisah hidup wanita cekal ini turut diinspirasikan dalam sebuah filem biopik bertajuk 'What's Love Got To Do With It' pada tahun 1993, yang mana pelakon Angela Bassett tercalon untuk anugerah Oscar.

Bassett juga menjadi subjek sebuah dokumentari di saluran HBO bertajuk 'Tina' pada tahun 2021.

Dalam sebuah temubual bersama Marie Claire South Africa pada tahun 2018, Turner berkata, "Orang ramai menganggap hidup saya sukar, tetapi saya berpendapat ini adalah perjalanan yang indah.

"Semakin kita berusia, semakin kita sedar bahawa bukan sesuatu yang berlaku, tetapi bagaimana kita mengatasinya,” pesannya.