MAKIN tua makin hebat, rezeki pula bertambah lebat. Dari hanya hero setempat beliau kini berjaya menerobos tembok besar China.

Pada usia 52 tahun, segelintir orang mungkin memilih untuk kurang bekerja atau lebih banyak habiskan masa bersama keluarga namun tidak bagi ‘Pakcik Aamir.’ Dia memilih untuk melebarkan langkahnya lebih jauh. Menggapai lebih banyak bintang.

Pakcik Aamir atau atau Uncle Aamir adalah nama jolokan bagi pelakon berbakat besar Bollywood Aamir Khan di China. Namanya mekar di negara itu menerusi filem Dangal yang mencatat kutipan kasar AS$190 juta tahun lalu.

Ada yang kata Aamir tidak mungkin mampu meneruskan momentum kehebatan Dangal. Telahan itu silap kerana buah tangan terbaharu Aamir, Secret Superstar semakin jadi bualan di negara berpopulasi 1.42 penduduk itu.

Menurut data daripada ENT Group, Secret Superstar mengekalkan popularitinya dalam kalangan kaki wayang di China untuk minggu ketiga berturut-turut.


Mula ditayangkan pada 19 Januari lalu, filem bajet rendah ini telah mencatat kutipan AS$109 juta hanya dalam tempoh 24 hari. Ia mengatasi kutipan filem domestik Till the End of the World dan filem Hollywood Maze Runner: The Death Cure.

Menerusi filem ini Aamir berlakon sebagai pemuzik disamping pelakon utamanya Zaira Wasim yang bercita-cita mahu menjadi penyanyi namun menerima tentangan keluarganya.

Zaira pernah bergandingan Bersama Aamir dalam Dangal dengan memegang watak Geeta Phogat ketika kecil.

Secret Superstar diterbitkan sendiri Aamir bersama isterinya Kiran Rao menerusi syarikat mereka Aamir Khan Productions dan diarahkan Advait Chandan.