ADA banyak sebab kenapa peminat lagu-lagu Melayu harus menghargai naskhah terbaharu daripada Dayang Nurfaizah berjudul Belagu.
Ia bukan sekadar sebuah album biasa-biasa yang hanya diterbitkan untuk meneruskan kelangsungan kerjaya seni penyanyi tersohor itu.
Sebaliknya, jauh lebih penting, Belagu adalah karya yang sarat mengisi aspirasi dan kecintaan Dayang Nurfaizah pada khazanah seni Melayu.
Bukan sehari dua, sebaliknya, sudah bertahun penghibur itu menyimpan hasrat merakamkan lagu-lagu Melayu klasik yang disifatkannya sebagai harta pusaka yang wajar dipulihara oleh anak seni sepertinya.
Bertitik tolak daripada situlah, Dayang Nurfaizah menyimpan niat sebelum mengorak langkah dan menggerakkan usaha merealisasikan apa yang sudah lama diinginkan.
Dan kerja kerasnya bersama pasukan pengurusannya termasuk pengurusnya, Sharina Ahmad kini sudah memperlihatkan hasil yang amat memberangsangkan apabila muncul sebagai album penyanyi tempatan paling laris dijual di pelantar digital.
Dayang Nurfaizah, Sharina dan pasukannya sudah tentu juga boleh tersenyum manis kerana Belagu menduduki carta nombor satu di iTunes.
“Alhamdulillah. Hanya itu yang mampu Dayang lafazkan bila mendengar khabar album Belagu mendapat sambutan di platform digital.
“Hasrat dan cita-cita Dayang untuk merakamkan sebuah album yang mengandungi lagu-lagu Melayu klasik sudah menjadi kenyataan. Kini, usaha seterusnya adalah mengajak seluruh pencinta seni tanah air untuk sama-sama menghargai khazanah kita,” kata Dayang Nurfaizah kepada Astro AWANI.
Kata Dayang Nurfaizah, besar harapannya pendengar muzik Melayu khususnya generasi muda mengenali lantas menghargai khazanah lagu-lagu klasik.
“Jika kita sendiri tidak mengangkat warisan ini, lambat-laun ia akan berkubur begitu sahaja. Dayang anggap penghasilan album ini bukan saja satu penghargaan kepada orang-orang lama tapi juga sebagai satu tanggungjawab sebagai anak seni,” sambungnya.
Apa maksud Belagu?
Belagu kata penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu sebetulnya juga sebuah projek khas bagi menyempurnakan intepretasinya dalam menyampaikan lagu-lagu Melayu malar segar.
Bahkan, tidak keterlaluan jika Dayang Nurfaizah menganggap, Belagu adalah naskhah yang menyimpan nilai sentimental dan terlalu peribadi.
Penglibatan Dayang Nurfaizah dalam projek ini adalah secara total bermula dengan pemilihan lagu, menentukan siapakah pengarah muzik, konsep penceritaan sehinggakan tajuk Belagu itu sendiri adalah ilhamnya.
“Belagu adalah perkataan yang diambil dari dialek Melayu Sarawak yang membawa maksud menyanyi. Belagu itu ringkas, namun cukup sempurna menterjemah dan menceritakan tentang alunan suara Dayang dalam melengkapkan album ini.
“Bahkan paling utama Belagu adalah satu penghormatan dan penghargaan kepada lagu-lagu klasik,” kata Dayang Nurfaizah menyambung cerita.
Sajian Melayu sarat citra budaya
Ilham rasa dan kreativiti dalam Belagu turut mendapat kerjasama daripada pemuzik ternama Aubrey Suwito yang turut menumpahkan segala idea bernasnya dalam memastikan album ini menghidangkan sajian selera Melayu yang sarat dengan citra budaya namun dalam persona kontemporari.
Penghasilan Belagu, kata Dayang Nurfaizah, dibuat penuh teliti dalam segenap aspek pembikinan.
Bukan hanya pada susunan muzik, bahkan, dalam proses rakamannya juga diberi tumpuan yang begitu serius oleh pasukan penerbitan.
Penyanyi yang sinonim dengan vokal yang mantap itu juga menyuarakan hasratnya untuk melalui sendiri pengalaman merakamkan lagu diiringi muzik yang dimainkan secara langsung tidak seperti kelazimannya.
“Dayang mahukan ‘mood’ lagu yang dipersembahkan mengalir bagaikan air agar emosi penyampaiannya sampai kepada yang mendengar.
“Dayang cuba menghidupkan semula cara orang-orang dulu merakamkan lagu, yakni ditemani pemuzik-pemuzik secara langsung,” cerita Dayang Nurfaizah penuh teruja.
Belagu mengisi seleksi lagu Melayu malar segar yang amat istimewa buat Dayang Nurfaizah.
Lagu-lagu yang terkandung dalam album Belagu ialah Tudung Periuk, Malam Ku Bermimpi, Kenang Daku Dalam Doamu, Tak Seindah Wajah, Tari Tualang Tiga, Jikalau Abang Merindu, Dikirim Jangan Dipesan Jangan serta lagu Gurindam Jiwa (duet bersama Hael Hussaini).
Dalam keterujaan bercerita mengenai Belagu juga, Dayang Nurfaizah mahu mengambil kesempatan merakamkan rasa terima kasih dan penghargaan yang tulus buat Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta beberapa pihak lain yang membantunya merealisasikan projek yang penuh dengan kecintaan itu.
Belagu diterbitkan oleh syarikat produksi milik Dayang Nurfaizah, DN & AD Entertainment Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia.
Album ini boleh dinikmati secara digital sekarang di platform muzik maya utama seperti Spotify, Apple Music, iTunes, KKBox, Deezer dan Joox.
Saharudin Musthafa
Fri Feb 12 2021
Bukan sehari dua, sebaliknya, sudah bertahun Dayang Nurfaizah menyimpan hasrat merakamkan lagu-lagu Melayu klasik yang disifatkannya sebagai harta pusaka yang wajar dipulihara oleh anak seni sepertinya.
Permohonan bantuan kewangan program perpaduan secara dalam talian
Insentif bantuan kewangan kepada NGO bagi penganjuran program perpaduan akan diuruskan secara dalam talian menerusi portal bermula tahun ini.
Keputusan AS tidak luntur komitmen Malaysia terhadap isu perubahan iklim
Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara-negara lain dalam menangani isu perubahan iklim di sebalik keputusan Amerika Syarikat menarik diri daripada Perjanjian Iklim Paris.
Kerajaan sasar sifar projek sakit di bawah seliaan JKR - Ahmad
Kementerian Kerja Raya menyasarkan untuk menyelesaikan semua 16 projek sakit di bawah seliaan JKR di seluruh negara pada tahun ini.
Kelonggaran pelaksanaan sistem e-Invois permudah peralihan perniagaan kecil - Pakar
Tempoh kelonggaran selama enam bulan yang diberikan kerajaan sebelum pelaksanaan mandatori sistem e-Invois Malaysia membantu kalangan perniagaan kecil bersedia bagi pelaksanaan penuh.
[TERKINI] Ucapan sulung Trump di pentas WEF 2025
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyampaikan ucapan sulung di pentas Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang berlangsung di Davois, Switzerland secara dalam talian.
Pendakwa Raya ICC mohon waran tangkap terhadap pemimpin Taliban, Ketua Hakim Afghanistan
Pendakwa Raya ICC Karim Khan pada Khamis memohon waran tangkap untuk pemimpin tertinggi Taliban, Hibatullah Akhundzada, dan Ketua Hakim Negara sementara Afghanistan, Abdul Hakim Haqqani.
Rangkuman dan menjelang ucapan sulung Donald Trump
Lintas langsung bersama Editor Kanan Astro AWANI mengenai rangkuman WEF 2025 dan menjelang ucapang Sulung Presiden AS, Donald Trump dari Davos, Switzerland.
Micheal Martin disahkan sebagai Perdana Menteri baharu Ireland
Ketua Fianna Fail Micheal Martin telah disahkan sebagai perdana menteri Ireland yang baharu selepas undian di Dail, dewan rendah parlimen Ireland,.
Dasar liberal, Argentina yakin sokongan Trump dan global
Presiden Argentina Javier Milei berkata, negara itu tidak lagi bersendirian dalam memperjuangkan dasar liberal dan beliau merasakan sokongan daripada pakatan antarabangsa termasuk Presiden AS, Donald Trump dan Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni.
Trump dijangka beri ucapan secara dalam talian
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dijangka memberikan ucapan di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland, pada Khamis.
Larut dalam alunan indah Dayang Nurfaizah
Konsert Dayang Nurfaizah & MPO: Belagu di DFP bukti irama Melayu klasik berada di kelas tersendiri.
'Belagu' terjemahan kasih dan cinta Dayang Nurfaizah
Belagu adalah karya yang sarat mengisi aspirasi dan kecintaan Dayang Nurfaizah pada khazanah seni Melayu.