Selepas 11 tahun berlalu, beliau berkongsi kembali kisah bersejarah itu menerusi beberapa foto yang dimuat naik menerusi akaun media sosial Instagramnya (IG), @drsheikhmuszaphar.
Merujuk dalam satu foto kelihatan beliau terapung bersama Jalur Gemilang dalam kapal angkasa Soyuz TMA-11.
"Oktober adalah bukan di angkasa lepas pada saya dan saya ingin berkongsi dengan anda banyak foto yang tidak pernah dipertontonkan sebelum ini.
"Solat, makanan, eksperimen, al-Quran di angkasa lepas dan banyak lagi. Selama seminggu saya akan kemas kini perjalanan ke angkasa lepas saya yang berlaku pada tahun 2007," katanya.
Menariknya, beliau juga memuat naik satu video yang menunjukkan bagaimana beliau menjalani latihan yang cuba dilepasi 11,425 calon tapi hanya empat calon berjaya untuk pergi ke StarCity untuk menjalani latihan selama sebulan sebelum hanya dua calon saja terpilih.
"Bayangkan 9 kali berat badan anda menekan dada sehingga tidak boleh bernafas. Anda boleh tidak sedar kerana darah tidak mengalir ke otak pada masa itu. Perasaan yang sangat menyeronokkan," katanya.
Ujarnya, situasi sebegitu berlaku ketika kapal angkasa iaitu roket yang dinaikinya berlepas dan mendarat.
"Ia bukanlah perasaan yang hebat berada dalam 'centrifuge' tapi kami tidak mempunyai pilihan," katanya.
Selain kisah menarik yang dikongsinya itu, beliau juga memuat naik satu foto yang menunjukkannya bersama al-Quran. Ia adalah pemberian ibunya yang mengingatnya untuk membaca al-Quran ketika berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). - Teks oleh: Elrafaei Sapi