Astro memenangi Anugerah Emas Putra Brand untuk kategori rangkaian dan media, buat kali ke-enam berturut-turut.

Selain memenangi anugerah untuk televisyen, Astro turut membawa pulang dua lagi anugerah untuk segmen radio.

Naib Presiden Bahagian Pelanggan Astro, Shaiful Subhan telah mewakili syarikat penyiaran berbayar nombor satu Malaysia itu untuk menerima anugerah tersebut.

Menurut Shaiful, kelebihan Astro terletak pada kandungannya yang sentiasa mengikut kehendak penonton.

xxxx
Hitz Morning Crew menerima anugerah mereka. Foto AWANI

Bagi segmen radio pula, ERA.fm dan hitz.fm masing-masing memenangi anugerah Emas dan Perak untuk kategori yang sama.

Pengurus kandungan rangkaian, Raqeem Brian menerima anugerah tersebut bagi pihak stesyen radio hitz.fm, ditemani DJ terkenal saluran itu termasuk Ean, RD dan Arnold (dari hitz.fm Morning Crew).

Bagi ERA.fm pula, Haniff dari JoHaRa telah menerima anugerah tersebut bagi pihak salurannya.

xxxx
Haniff dari JoHaRa menerima anugerah beliau. Foto AWANI

ERA.fm merupakan stesyen radio no.1 di Malaysia dengan 4.8 juta pendengar seminggu manakala hitz.fm pula merupakan stesyen radio Bahasa Inggeris popular dengan 1.2 juta pendengar seminggu.

Anugerah Putra Brand 2015 merupakan anugerah jenama terkemuka di Malaysia yang dianjurkan oleh Persatuan Ejen-ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As) dengan kerjasama jenama-jenama premier di Malaysia.

Para pemenang anugerah Emas, Perak dan Gangsa ditentukan berdasarkan pilihan yang dibuat oleh 6,000 pengguna Malaysia.