PETALING JAYA: Isteri kepada penyanyi ternama Jay Jay, Zaitoon Wahid menyifatkan Allahyarham suaminya sebagai individu yang amat penyayang sepanjang empat dekad mereka hidup sebagai suami isteri.

Menurut balu kepada empat cahaya mata ini, dia bersyukur berada berada di sisi sebelum suaminya menghembuskan nafas terakhir.

“Dia pergi dengan tenang selepas apa yang dilalui, dia tidur dan pergi buat selamanya. Selepas pembedahan bypass (pintasan jantung) dibuat pada Jun lalu, dia mengalami komplikasi.

“Anak-anak dan adik-beradik arwah semua ada di sisi. Alhamdulillah kami tengok dia pergi dengan baik dan sebelum itu dia tiada pun tunjuk tanda-tanda dia sakit tapi keadaanya makin teruk selepas Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Zaitoon berkata demikian ketika ditemui di Masjid Al Husna, Bandar Sunway, di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, adik kepada Jay Jay, Puan Sri Melor Wati menyifatkan abangnya seorang yang memiliki sifat kasih sayang yang sangat tinggi.

“Abang sangat penyayang. Saya sebagai adik amat terasa kehilangannya. Abang sangat pentingkan semangat kekeluargaan,” ujar Melor Wati.

Ratusan termasuk ahli keluarga dan kenalan hadir ke Masjid Al-Husna bagi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Jay Jay.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Tandang, Subang Jaya, Selangor pada jam 11 pagi ini.

AllaJay Jay atau nama sebenar Mohd Fauzi Darus meninggal dunia pada usia 67 tahun di Hospital Thomson, Kota Damansara, di sini, pada jam 9.27 malam tadi disebabkan kegagalan fungsi pelbagai organ dalaman.

Mei lalu, Allahyarham Jay Jay dilapor menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami serangan jantung ringan dan sesak nafas.