KUALA LUMPUR: Maybank akan menamatkan perkhidmatan aplikasi mudah alih Maybank2u MY pada 28 Ogos 2024.

Langkah itu bagi menggalakkan pelanggannya beralih ke aplikasi MAE.

Dalam satu kenyataan di laman sesawangnya hari ini, bank itu menggesa pelanggan memuat turun aplikasi MAE secepat mungkin kerana mereka tidak lagi boleh mengakses akaun atau sebarang fungsi melalui aplikasi Maybank2u MY selepas 28 Ogos.

"Aplikasi MAE mempunyai semua fungsi aplikasi Maybank2u MY dan banyak lagi, termasuk fungsi perbankan dan gaya hidup yang komprehensif serta langkah keselamatan yang dipertingkatkan melalui Secure2u sebagai satu-satunya cara untuk mengesahkan transaksi," katanya.




Katanya, aplikasi Maybank2u MY akan diturunkan daripada semua platform aplikasi termasuk Apple App Store, Google Play Store and Huawei AppGallery.

Pelanggan baharu MAE perlu mendaftar untuk menggunakan Secure2u, yang merupakan cara meluluskan semua transaksi kewangan melibatkan akaun mereka.

Pelanggan perlu melengkapkan pendaftaran di mesin ATM Maybank terdekat, dan menunggu 12 jam sebelum ciri tersebut boleh digunakan.