Filem "Boyhood" menjadi pilihan beberapa pengkritik filem tempatan bagi memenangi kategori Filem Terbaik, walaupun filem "Birdman" dan "The Grand Budapest Hotel" menerima pencalonan tertinggi dalam Anugerah Oscar tahun ini.

"Boyhood" arahan Richard Linklater turut berjaya merangkul markah penuh 100/100 oleh pengkritik terkemuka dunia Metacritic dan mengumpul banyak pengiktirafan sepanjang musim anugerah kali ini, termasuk Filem Terbaik (Drama) di anugerah Golden Globe.

Filem bertemakan kekeluargaan ini berkisar tentang seorang kanak-kanak lelaki, Mason lakonan Ellar Coltrane yang melalui proses pembesaran dan pencarian identiti.

Astro AWANI mendapatkan pandangan editor/penerbit program hiburan H!Live juga penulis blog Rebiufilem, Syazwan Zakariah serta editor Dewan Sastera juga penulis blog Tontonfilem, Fadli Al-Akiti mengenai siapa mereka rasa bakal menjulang Oscar dalam beberapa kategori utama tahun ini.


Syazwan dan Fadli
Syazwan (kiri) dan Fadli ada alasan tersendiri daripada segi pemilihan pemenang yang bakal menjulang anugerah Oscar dalam kategori masing-masing tahun ini.


Filem Terbaik

Syazwan:
Saya pilih "Boyhood". Apa yang menjadikan "Boyhood" sebuah filem yang luar biasa adalah pembikinannya yang dirakamkan sepanjang 12 tahun. Ibarat menonton sebuah program realiti kehidupan seorang individu.

Pengarahnya, Richard Linklater memilih momen-momen yang relevan dan meyakinkan. Linklater juga bijak untuk menukar sesuatu yang normal kepada sesuatu yang menghiburkan dengan penceritaan yang baik.

Fadli: "Boyhood", kerana ia diterbitkan secara indie dan mempunyai kekuatan dari semua segi teknik, penceritaan, skrip, pengarahan dan lakonan. Cara filem ini dibikin, yang mengambil masa 12 tahun dengan para pelakon yang sama, mengisi ruang sejarah yang tersendiri dalam perfileman Amerika.


Trailer filem Boyhood


Teknik segar ini menuntut agar persoalan pembikinan filem "saga" dan "epik" diolah semula definisi dan kaedahnya, dengan penceritaan yang jitu dan percubaan pengarahnya menyampaikan maksud naturalisme atau realisme baharu dalam perfileman (menolak penceritaan yang mengikut durasi dan detik tertentu yang biasa dalam filem neo-realisme yang terkenal di Itali dan Iran).

Filem ini juga menunjukkan suatu petunjuk baik dalam industri perfileman bebas di Amerika, dengan belanja yang kecil tetapi dilaksanakan dengan idea yang besar dan asli, menyentak studio besar Hollywood lain bahawa skop besar dan bintang besar tidak semestinya menjanjikan idea seni yang besar.


Pengarah Terbaik

Syazwan:
Saya pilih Linklater (Boyhood) di atas usaha dan kegigihannya untuk menghasilkan sebuah mahakarya dengan subjek yang biasa. Hampir kesemua festival dan acara perfileman di Hollywood pada musim ini mengangkat Linklater sebagai Pengarah Terbaik, termasuk anugerah Silver Bear di Festival Filem Antarabangsa Berlin. Adalah menghairankan jika committee Oscar tidak memilih dia.

Fadli: Alejandro González Iñárritu, sutradara bagi filem Birdman layak menang pada tahun ini. Sebenarnya, kategori ini boleh ditilik kerana keberangkalian pemenang Director's Guild Award (yang ahlinya juga para pengundi Academy, daripada kalangan pengarah) selalunya akan mengisi ruang pengarah terbaik di Anugerah Akademi dan tahun ini, Iñárritu serta penolong pengarahnya menjulang DGA.


pengarah oscar
Kategori Pengarah Terbaik: Syazwan memilih Richard Linklater (kiri) untuk "Boyhood", manakala Fadli memilih Alejandro G. Iñárritu untuk "Birdman". -Foto nighlightcinema.com


Namun begitu, Iñárritu disaingi oleh Linklater dan Wes Anderson (The Grand Budapest Hotel).

Pengarah yang menghasilkan kraf terbaik juga bukan suatu faktor untuk kemenangan tetapi cara mereka menangani kru dan pelakon juga menjadi ruang faktor dalam menentukan pencalonan dan kemenangan.

Oleh sebab itu, mendiang Alfred Hitchcock dan Stanley Kubrik tidak pernah memenangi anugerah pengarah terbaik Oscar kerana sikap mereka di lokasi yang dikatakan "zalim" dan bersikap diktator terhadap kru dan para pelakon.


Pelakon Lelaki Terbaik

Syazwan: Michael Keaton untuk filem "Birdman" yang mungkin mempunyai 'soft spot' dalam kalangan pengundi Oscar berdasarkan status seniornya berbanding Eddie Redmayne (The Theory of Everything) dan Benedict Cumberbatch (The Imitation Game).

Walaupun dia tewas kepada Redmayne untuk anugerah Screen Actors Guild (SAG), Keaton dipilih oleh Critics Choice Awards dan National Board Review. Wataknya sebagai seorang pelakon veteran yang mahu kembali gemilang juga ibarat satu salutasi kepada bintang-bintang Hollywood.

Fadli: Eddie Redmayne untuk "The Theory of Everything". Redmayne sudah memenangi SAG, BAFTA, dan Golden Globe.

Radmayne yang berlakon sebagai Profesor Stephen Hawking dijulang begitu tinggi kerana dengan begitu teliti mengikut segala bentuk nuansa fizikal dan emosi yang diperlukan untuk menghidupkan watak tokoh saintis fizik berkenaan.

Namun, Micheal Keaton menjadi pencabar utama Redmayne dengan lakonannya yang cemerlang.

julianne moore
Julianne Moore di dalam babak daripada filem "Still Alice." -Foto stillalicemoviefan.com


Pelakon Wanita Terbaik

Fadli:
Julianne Moore untuk "Still Alice". Moore begitu cemerlang sebagai profesor bahasa yang dirundung penyakit Alzheimer.

Filem bebas tersebut memang dibikin untuk mengangkat lakonan hebat Moore, memfokuskan kesengsaraannya dan pergelutan psikologi dan spiritualnya untuk mengekalkan kehadirannya dalam kepompong hidupnya. Julianne mungkin dicabar oleh Rosamund Pike (Gone Girl).

Syazwan: Julianne Moore bakal menang mudah. Kategori ini seperti tiada saingan. Bukan bermaksud empat calon lain tidak bagus, tetapi mereka tidak cukup bagus untuk menandingi Moore yang sejak September tahun lalu disebut-sebut sebagai calon yang paling layak. Watak wanita berkerjaya hebat namun menghidap Alzheimer ini dibawanya dengan begitu cemerlang.

Anugerah Oscar ke-87 akan bersiaran secara langsung di saluran HBO, 23 Februari jam 8 pagi.