Apa khabar anak-anak, selamat kembali ke sekolah!

Hari ini merupakan hari pertama persekolahan bagi sesi 2019 dan sudah pasti ramai ibu bapa yang mengambil cuti untuk menguruskan anak-anak mereka.

Begitu juga dengan Arrian, anak kepada penyanyi terkenal, Tomok yang menjejakkan kaki buat pertama kali ke sekolah hari ini bersama pelajar-pelajar lain.

Menurut Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, anak sulungnya itu sangat teruja dan begitu gembira sekali untuk memulakan hari pertama di sekolah.

“Dia sendiri sangat gembira dan bangun pagi tadi pun dia dah teruja untuk ke sekolah” kata Tomok yang juga vokalis kumpulan New Boyz ketika dihubungi Astro AWANI.

Tambah Tomok, sebagai bapa, dia agak risau kerana ini merupakan pengalaman baharu buat Arrian.

Bagaimanapun, Tomok yakin Arrian cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran selain mudah bergaul sejak dari hari orientasi sekolah pada Sabtu lalu.

Perkembangan itu sekali gus membuatkan Tomok dan isterinya, Rahayu Abas berasa lega.


Menurut Tomok, seperti kanak-kanak sebaya lain, Arrian juga hanya meminta disediakan barang keperluan sekolah sahaja tanpa sebarang permintaan khusus.

Di laman Instagram peribadinya hari ini, Tomok berkongsi gambar hari pertama Arrian ke sekolah.

Kata Tomok, untuk beberapa hari akan datang, dia akan meluangkan masa menghantar dan menjemput anaknya di sekolah.