KUALA LUMPUR: Anak bongsu kepada pasangan Zaquan Adha dan Ayu Raudhah yang berusia enam bulan dilaporkan meninggal dunia pada Selasa petang.

Berita sedih mengenai pemergian itu dikongsi oleh Zaquan, yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan di Instagram Story, sebentar tadi.

Bagaimanapun, Zaquan tidak memaklumkan mengenai punca kematian anak lelakinya itu.

"Salam semua, anak bongsu kami, Muhammad Aisy Al Rees Mohamad Zaquan Adha telah kembali kepada penciptanya sebentar tadi.

"Doakan saya dan isteri kuat untuk (menghadapi) dugaan ini," tulisnya dalam entri tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan Ayu selamat melahirkan anak ketujuh pada 2 Ogos tahun lalu di sebuah pusat perubatan swasta di Negeri Sembilan.

Sepanjang mendirikan rumah tangga, Ayu dan Zaquan dikurniakan cahaya mata iaitu Muhammad Aisy Qaiser; Muhammad Aisy Aryann; Laura Zuleykha; Muhammad Aisy Khaliq; Muhammad Aisy Al Jibreel; dan anak keenam yang berusia dua tahun.