PELAKON Amar Baharin dan Amyra Rosli menjelaskan alasan mereka untuk tidak menghebahkan hubungan percintaan yang dijalinkan selama ini.
"Kami tidak mahu menghebahkan dulu kerana kami sendiri tidak mahu bercakap mengenai perkara yang masih belum sahih.
"Kami merancang dan tak berkongsi dengan orang ramai selagi belum ada tarikh dan kata putus. Hari ini adalah waktu terbaik untuk kami kongsi," kata Amar kepada Astro Gempak.
Mengakui Amar mempunyai ciri-ciri lelaki idaman, Amyra selesa dengan peribadi Amar yang dianggap matang.
"Saya bersyukur kerana akhirnya kami dapat memberitahu semua pihak mengenai status kami berdua. Saya sendiri tidak mahu menjaja berita yang tak pasti. Saya lega dan puas hati kerana dapat berterus terang.
"Amar ada ciri-ciri lelaki idaman saya. Dia seorang yang matang dan saya sangat selesa bersamanya.
"Amar juga seorang lelaki yang merancang masa hadapan dan saya senang dengan dia," kata Amyra.
Terpikat dengan keikhlasan yang ditunjukkan oleh Amyra, Amar percaya jodohnya bersama Amyra sudah tertulis.
"Saya tiada ciri-ciri spesifik wanita idaman tetapi Amyra telah memikat hati saya. Bagi saya, dia sangat ikhlas. Peribadi dan perilaku yang ditunjukkan Amyra membuatkan saya selesa dengan dirinya.
"Saya yakin yang semuanya sudah tertulis.
Saya mungkin pernah berkawan dan rapat dengan orang lain, tetapi Allah mendekatkan hati kami, hasil keikhlasan perhubungan dan doa semua pihak," kata Amar pula.
Amyra atau nama sebenarnya, Nur Amira Izzati Rosli, 25, bakal bertunang dengan Amar atau nama sebenarnya Amar Mohd Baharin, 31, pada 22 Julai ini secara tertutup.
Majlis pernikahan mereka bakal diadakan pada 11 November 2016 dan Astro merupakan penyiar rasmi bagi majlis tersebut.