PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memanjatkan rasa syukur apabila impiannya untuk kembali berkolaborasi dengan komposer hebat Indonesia, Melly Goeslow bakal menjadi kenyataan.

Siti menerusi ruangan Instastories semalam mendedahkan bukti perbualan bersama Melly yang hampir mencapai kata sepakat bersama.

"Ya Allah... Alhamdulillah, sebenarnya saya gementar menantikan jawapan legenda muzik Indonesia yang hebat ini.

"Akhirnya... Allah makbulkan," tulis Siti.



Dalam perbualan itu, Siti memulakan langkah bertanyakan seandainya pencipta lagu Biarlah Rahsia itu sudi memberikannya demo lagu baharu bagi menyiapkan album terbaharunya menjelang hujung tahun ini.

Ternyata Melly memberikan jawapan positif bersetuju dan menghantarkan demo lagu terbabit menerusi e-mail Siti.

"Sepertinya ada lagu, nanti saya bagi emel kepada kamu ya," balas Melly.



Kerjasama Siti dan Melly tidak perlu dipertikaikan lagi apabila lagu-lagu ciptaan Melly misalnya pasti akan turut meniti di bibir peminat setianya hingga kini.