Jika sebelum ini kami paparkan info menarik mengenai Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Mateen, anak raja dari negara Brunei, kali ini kami tampilkan pula Putera Al Hussein Abdullah II dari negara Jordan.
Berpengaruh, kacak, aktif bersukan dan pintar, barangkali itu elemen yang menjadikan seorang jejaka itu sempurna di mata wanita.
Apapun, kami kongsikan beberapa info menarik mengenai Putera Hussein yang semakin popular di media sosial itu.
1) Putera sulung Raja Abdullah II dan Permaisuri Rania
Putera Hussein lahir pada 28 Jun 1994 dan kini berusia 22 tahun. Beliau mempunyai tiga orang adik, Puteri Iman Abdullah, 20, Puteri Salma Abdullah, 16, dan Putera Hashem Abdullah, 12.
2) Leftenan sulung dalam angkatan tentera Jordan
Mungkin beliau belum cukup umur untuk menyewa kenderaan di negara sendiri, namun beliau sudah melalui latihan penerbangan helikopter.
Pada tahun 2014, beliau telah mendapat latian daripada juruterbang Royal Jordan Air Force sendiri.
Hussein juga menyandang pangkat tertinggi dalam Angkatan Senjata Jordan dan pernah menyertai latihan ketenteraan di Unit Latihan Khas Raja Abdullah II.
3) Graduan antarabangsa
Putera Hussein merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sejarah Antarabangsa dari Universiti Georgetown, Amerika Syarikat.
Sebelum melanjutkan pelajaran, beliau terlebih dahulu mendapat pendidikan di Akademi Perlindungan Sivil Putera Al Hussein Abdullah II, sebuah akademi yang menerapkan latihan disiplin yang unik dalam pendekatan sains untuk melindungi nyawa dan harta benda.
4) Berperanan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
Pada tahun 2015, Hussein merupakan individu paling muda menduduki kerusi dalam mesyuarat Badan Eksekutif Keselamatan.
Beliau telah mempengerusikan mesyuarat badan berkenaan untuk memperdebatkan isu tentang kepentingan golongan muda dalam mempertahankan keamanan sejagat dan membanteras ekstremis.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon sendiri memuji kredibiliti Hussein. Katanya: "Ketika beliau belum mencapai usia 21 tahun lagi beliau sebenarnya sudah mampu memimpin negara abad 21."
5) Seorang lasak
Terjunan dari pesawat mungkin terlalu biasa bagi Hussein. Pada tahun 2014, beliau pernah menyertai sepasukan askar payung terjun dalam Static Line Parachute Course.
Semestinya beliau menggemari aktiviti tersebut memandangkan pada tahun 2015 beliau kembali melakukan aktiviti terjunan bersama pasukan The Red Bull Air Force sempena Sambutan Hari Kemerdekaan negara tersebut.
Waktu lapangnya pula dihabiskan dengan bermain sukan bola sepak.
Seperti bapanya, Raja Abdullah, Hussein menggemari sukan permotoran. Malah, beliau juga gemar melakukan ekskavasi denai di Wadi Mujib.
6) Mahir memasak dan bermain gitar
Bonus yang tidak dimiliki semua jejaka di dunia ini, Putera Hussein handal memasak!
Sering menunjukkan bakat memasak di dapur kediaman beliau, Hussein pernah kongsikan sekeping gambar beliau sedang beraksi.
Muzik barangkali eskapisme beliau. Pernah beberapa kali Putera Hussein memuat naik foto bermain alat muzik antaranya gitar sewaktu lapang dengan kapsyen; "diversi muzik untuk menyegarkan minda selepas seharian yang penat."
7) Berjiwa rakyat
Beliau juga sering terbabit dalam aktiviti kebajikan terutama program sukarelawan remaja di negaranya, Haqiq.
Putera Hussein penyokong tegar Qusai, iaitu sistem latihan pakar terapi sukan dalam pertolongan cemas serta Allgau-Orient Rally, usahasama negara Jerman yang melibatkan penyertaan pelumba dari Jordan.
Yayasan Putera Hussein juga ditubuhkan untuk membanteras penggunaan dadah dan tembakau dalam kalangan generasi muda.
8) Jumlah pengikut Instagram hampir sejuta
Pengaruh yang kuat dalam media sosial misalnya Instagram menambah nilai Putera Hussein untuk lebih dikenali di serata dunia.
Kini jumlah pengikutnya di laman sosial Instagram mencecah angka 986 ribu pengikut. Wow!
Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: US Hello Magazine, Dailymail
Kredit foto: IG @alhusseinjo