PRESIDEN Ukraine Volodymyr Zelenskyy kini dalam fasa paling genting sejak menyandang jawatan nombor satu itu. Nasib rakyatnya kini bergantung kepada tindakan pantasnya, sejak Rusia mula melancarkan operasi ketenteraan di wilayah pentadbirannya.

Portal berita Wionews melaporkan bahawa Zelenskyy adalah salah satu cerita yang unik. Dia mungkin satu-satunya atau salah satu daripada kisah individu di dunia yang diangkat menjadi presiden sebuah negara, hanya kerana popularitinya.

Tanpa latar belakang bidang politik, lelaki yang berusia 44 tahun itu terpilih menjadi Presiden Ukraine dengan hanya bertunjangkan pesona dan personaliti sebagai pelakon dan pelawak di negaranya.

Kini, dia berdepan dengan ancaman peperangan dengan Rusia, yang diketahui sebagai salah sebuah negara yang memiliki angkatan militari terbesar dunia.



Pelakon komedi

Dilahirkan di bandar Kryvyi Rih, Volodymyr Zelenskyy yang berdarah Yahudi merupakan lulusan Kyiv National Economic University dengan sarjana perundangan. Dia bagaimanapun menjadikan bidang persembahan komedi sebagai kerjayanya.

Sejak muda, wajah Zelenskyy sudah mula dikenali seisi rumah Ukraine kerana kerap menyertai program hiburan dan komedi di televisyen Rusia. Pada 2003, dia menjadi pengasas bersama syarikat produksi Kvartal 95 bersama kumpulannya.

Syarikat itu menerbitkan program untuk rangkaian 1+1 Ukraine, yang mana pemilik bertaraf bilionairnya, Ihor Kolomoisky, bertindak sebagai tulang belakang yang menyokong dan melobinya sebagai presiden negara itu.

Sehingga pertengahan tahun 2010, kerjayanya di televisyen dan filem, seperti Love in the Big City (2009) dan Rzhevsky Versus Napoleon (2012), menjadi fokus utama Zelenskyy.



Titik perubahan

Tahun 2014 menjadi titik perubahan bagi Zelenskyy, bukan sahaja terhadap kerjayanya, malah buat seluruh Ukraine.

Pada tahun itu, Presiden Ukraine yang pro-Rusia, Viktor Yanukovych, telah digulingkan selepas beberapa bulan siri protes berlangsung. Rusia kemudiannya menawan Crimea dan membantu puak pemisah di timur untuk melancarkan perang ke aats Ukraine, yang berlarutan hingga kini.

Setahun selepas itu, siri komedi satira televisyen, Servant of the People, ke udara di Ukraine dan sekali gus membentuk Zelenskyy menjadi selebriti mengejut. Hampir semua orang menyukai program hiburan berkenaan.

Zelenskyy membawa watak seorang guru sekolah yang bermulut lancang bernama Vasiliy Goloborodko. Dalam jalan cerita siri itu, tanpa disangka kelancangannya mengulas tentang hal korupsi telah dirakam para pelajar sekolahnya lalu dimuat naik ke internet, lalu seterusnya diangkat menjadi Presiden.

Program komedi itu menjadi sohor dan disebut-sebut ramai, seiring dengan keadaan realiti Ukraine ketika itu yang berdepan pelbagai krisis, termasuk hal rasuah dan kesan rantaian Crimea.

Pada masa yang sama, rakyat Ukraine memang terlalu mengharapkan perubahan.


Krisis Rusia-Ukraine: Apa punca sebenar dan perkembangan terkini

Laluan kepresidenan

Selepas melakonkan watak sebagai presiden berdasarkan skrip program itu untuk satu tempoh yang agak lama, Zelenskyy mengambil keputusan mengejutkan dengan menceburi bidang politik sebenar pada tahun 2019.

Zelenskyy telah mencabar Presiden Ukraine ketika itu, Petro Poroshenko dalam pilihan raya presiden. Meskipun pemerhati politik agak 'tidak yakin' dengan cabaran itu, Zelensky masih mempunyai jumlah sokongan yang kuat.

Menurut BBC, Zelenskyy mengelak daripada berbincang atau mengulas tentang isu serius sepanjang kempen pilihan raya sebaliknya hanya bergantung pada hantaran video komedi ringan di media sosial.

Sikap dan pendekatannya itu tentu sekali menjadi bahan untuk dipersendakan pasukan pesaing politiknya.

Namun, apa yang terjadi selepas itu? Dia berjaya memenangi hati rakyat Ukraine dengan personalitinya lantas menewaskan Poroshenko dengan kiraan lebih 70 peratus undi.

Hari ini, Zelenskyy berdepan dengan realiti dahsyat – berdepan Vladimir Putin – seorang ahli politik veteran dan bekas perisik KGB.

Dalam satu siaran khas buat rakyatnya, Zelenskyy berikrar untuk melawan Rusia dan meyakinkan rakyatnya bahawa Ukraine sedia menghadapi sebarang kemungkinan.