SINGAPURA: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menegaskan langkah diplomasi adalah berkesan, tetapi memerlukan kehendak dan sokongan daripada komuniti seluruh dunia.


Ringkasan AI
  • Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky umum negaranya akan mengadakan sidang kemuncak keamanan di Switzerland pada 15 dan 16 Jun. Sidang ini bertujuan menunjukkan persefahaman bersama mengenai langkah seterusnya ke arah keamanan di Ukraine dan menyampaikan mesej ini kepada Rusia.
  • Zelensky memaklumkan sebanyak 106 negara dan pertubuhan telah bersetuju untuk mengambil bahagian dalam sidang tersebut. Beliau mengucapkan terima kasih kepada negara-negara termasuk Amerika Syarikat, Jerman, dan Belanda atas bantuan ketenteraan mereka, terutamanya dalam sistem pertahanan udara.
  • Zelensky menyebut serangan Rusia pada Ahad dengan hampir 100 serangan peluru berpandu sebagai sesuatu yang tiada negara boleh menghadapinya sendirian.


Beliau berkata demikian pada Dialog Shangri-La pada Ahad bagi meraih sokongan antarabangsa untuk sidang kemuncak keamanan akan datang di Switzerland pada 15 dan 16 Jun.

Sidang kemuncak itu bertujuan menunjukkan persefahaman bersama dalam majoriti negara mengenai langkah seterusnya ke arah keamanan di Ukraine, dan untuk menyampaikan mesej ini kepada Rusia.

Dalam pada itu, Zelensky memaklumkan sebanyak 106 negara dan pertubuhan telah bersetuju mengambil bahagian dalam sidang yang bertujuan membawa keamanan kepada Ukraine yang mana didakwa cuba dihalang Rusia.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada negara-negara termasuk Amerika Syarikat, Jerman, dan Belanda atas bantuan ketenteraan mereka, terutamanya dalam sistem pertahanan udara.

Zelensky menyebut serangan Rusia pada Ahad dengan hampir 100 serangan peluru berpandu sesuatu yang tiada negara boleh menghadapinya sendirian.

Beliau dan Menteri Pertahanan Rustem Umerov mengadakan perbincangan dengan Menteri Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Lloyd Austin selama lebih sejam pada Ahad di luar persidangan itu.

Ukraine berdepan serangan daripada tentera Rusia, terutamanya di sekitar bandar timur laut Kharkiv.

AS baru-baru ini melonggarkan sekatan ke atas penggunaan senjata yang dibekalkannya untuk menyerang sasaran di Rusia yang menurut pakar akan membantu Ukraine menghalang serangan berterusan.