SEORANG warga emas di Alabama, Amerika Syarikat membuktikan bahawa jika seseorang itu bersungguh-sungguh mengusahakan sesuatu, dia pasti mampu melaksanakannya.

Bak kata pepatah "hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih", nenek ini akhirnya tamat pengajian sekolah menengah pada usia 94 tahun.

Menurut laporan portal berita WAAY31, Grace Lee McClure Smith terpaksa berhenti sekolah di usia 16 tahun pada 1942 selepas suaminya dipanggil berkhidmat ketika Perang Dunia II.

Smith menerima sijil tamat sekolah di Hazel Green High School pada Rabu dalam satu upacara khas.

Menurut Pengarah Pendidikan Daerah Madison, Tim Hall, Smith kembali ke sekolah pada usia 60 tahun, namun sebagai pemandu bas sekolah.

Jelasnya, ini membakar semangatnya untuk kembali belajar.

"Dia kembali ke sekolah sebagai pemandu bas sekolah bagi memastikan para pelajar selamat pergi dan kembali ke rumah selama lebih 30 tahun.

"Sepanjang tempoh tersebut, dia menunjukkan minat untuk kembali belajar dan kini telah menamatkan pengajiannya yang lama tertangguh," jelas Hall.

 
Sumber Facebook HazelGreenHS

Smith mempunyai tujuh orang anak, 16 cucu serta 26 cicit.